JAKARTA boleh diibaratkan rumah kedua buat personaliti jelita, Nur Fazura yang kini dilihat kerap berulang-alik ke negara jiran itu atas urusan kerja.
Siapa sangka, tawaran demi tawaran diterima wanita berusia 40 tahun itu dalam dunia perniagaan dan kerja seni.
Terbaharu, Fazura memberitahu, sempena menyambut ulang tahun ke-40 pada 27 September ini dia bakal melancarkan single duet bersama penyanyi dan komposer hebat Indonesia, Ahmad Dhani menerusi lagu Jika Cinta Allah.
Fazura berkata, lagu yang pernah dipopularkan Ahmad Dhani itu mempunyai makna mendalam.
"Ketika saya mendengar lagu ini kali pertama, saya terus jatuh cinta dengan lirik dan melodi lagu ini kerana begitu dekat di hati saya.
"Tambah pula sekarang ini ramai mengalami tekanan hidup atau kebimbangan teruk. Saya kalau memandu kereta pun nak dengar lagu yang memberi semangat, saya tak nak dengar lagu yang buat kita lagi murung.
"Jadi, saya terus berjumpa dengan beliau dan beritahu keindahan lagu ini. Beliau terus bertanya sama ada saya mahu lagu baru atau berminat membuat 'cover' (nyanyian semula) lagu ini.
"Saya cakap kita yanyikan semula lagu ini saja. Apa yang lebih menarik, beliau sanggup mengubah semula tempo dan susunan lagu ini. Beliau buat istimewa untuk saya," katanya.
Menurut Fazura, dia berasa bertuah Ahmad Dhani terbuka hati untuk bekerjasama dengannya.
"Sebelum ini pengurus saya ada maklumkan ramai artis Malaysia minta lagu dengannya, tapi entah bagaimana dengan saya dia terus ajak bekerjasama.
"Mungkin inilah dinamakan rezeki. Apapun saya harap lagu ini dapat beri manfaat kepada orang ramai. Saya tak nak lagu-lagu disampaikan buat orang makin bersedih.
"Lirik lagu Jika Cinta Allah ini sangat indah kerana nak beritahu yang kita sebagai hamba perlu sentiasa bergantung kepada Allah. Tiada apa yang boleh menjejaskan emosi dan semuanya akan dipermudahkan," katanya.
Kata Fazura, kehadirannya di Jakarta bukan sekadar projek single Jika Cinta Allah semata-mata, sebaliknya banyak peluang perniagaan bakal diceburi selain sedang giat mengatur pertemuan bersama komposer hebat di Indonesia.
"Insya-Allah saya akan lancarkan satu acara di Indonesia tidak lama lagi. Saya tak boleh kongsikan sekarang, saya perlu simpan rahsia ini dulu.
"Saya dalam proses menyiapkan album yang bakal dilancarkan tahun depan. Saya kini giat mengatur pertemuan dengan komposer dari Indonesia dan Malaysia selain bakal tampil dengan single duet bersama Zizi Kirana.
Kembali berlakon drama selepas tujuh tahun
Fazura berkata, dia bakal membuat kemunculan dalam drama bersiri 30 episod selepas hampir tujuh tahun berehat dalam dunia lakonan.
"Diam tak diam sudah tujuh tahun saya tidak berlakon drama. Insya-Allah akhir tahun depan saya buat kemunculan di TV3 menerusi drama bersiri 30 episod.
"Salah satu sebab utama saya kembali ke dunia lakonan kerana ingin ubati kerinduan untuk berlakon, selain memenuhi permintaan peminat yang sudah lama menantikan kehadiran saya di kaca TV.
"Selain itu, sudah tentu skrip berkualiti menjadi faktor utama selain barisan pelakon yang hebat. Saya sudah beritahu kepada pengarah saya mahu kemunculan saya memberi semangat kepada kaum wanita," katanya.
Bagi Fazura, seseorang wanita itu harus bermaruah dan tidak membuka aib pasangan di media sosial.
"Sebagai wanita kita harus bersabar dan bermaruah. Saya memang nak membintangi karya yang mengangkat kaum wanita. Kita tidak perlu lemah.
"Memang seronok ada suami di sisi, tapi andai kata jodoh tidak panjang jangan pula kita bersedih. Kita seharusnya bangkit dan bersemangat.
"Secara peribadi saya sangat hormati suri rumah yang menjaga anak atau suami yang tidak bekerja. Ia satu tugas berat dan rumit. Ramai wanita di luar ada masalah depresi sebab tak cukup tidur kerana perlu menjaga anak siang dan malam.
"Jadi saya ingin beri semangat untuk mereka terus kuat. Jadi ibu ini tidak mudah, saya sangat hargai suri rumah ini,"katanya.
Katanya, dia turut berpesan kepada kaum ibu yang tidak bekerja supaya memiliki pendapatan peribadi dengan melakukan pekerjaan kecil dari rumah.
"Saya ingin pesan kepada suri rumah supaya mereka ada pendapatan untuk diri sendiri. Jika tidak boleh kerja di luar, lakukan kerja di rumah. Mereka perlu ada simpanan.
"Ini kerana jika berlaku apa-apa mereka ada 'back up'. Jadi kepada wanita di luar sana cubalah cari apa yang anda minat dan lakukannya. Terbabit dalam perniagaan kecil pun tidak mengapa, kita simpan duit sendiri," katanya.