FAZURA mahu angkat mereka melalui karya berkualiti, bukan dipaparkan sebagai insan lemah. FOTO: Aziah Azmee
FAZURA mahu angkat mereka melalui karya berkualiti, bukan dipaparkan sebagai insan lemah. FOTO: Aziah Azmee
Syafil Syazwan Jefri


TANGGUNGJAWAB pelakon tidak hanya sekadar beraksi di hadapan kamera dan menjayakan sesuatu karakter. Mungkin ramai tidak sedar insan seni ini menyalurkan mesej kepada penonton menerusi karya yang dibintangi.

Bagi pelakon dan penyanyi, Nur Fazura, menjadi matlamatnya mengangkat martabat wanita melalui karya berkualiti.

“Saya sentiasa inginkan karya yang memperkasakan wanita. Namun, belum ada tawaran baharu yang sesuai dengan kehendak saya,” katanya.

Menurutnya, hanya beberapa pengarah dan penerbit yang berani memperjuangkan serta memperkasakan wanita dalam karya mereka antaranya Bernard Chauly.

“Setakat ini Bernard Chauly saja yang berani menonjolkan karakter memperkasakan wanita dan antara filem arahannya yang pernah saya lakonkan ialah Manisnya Cinta di Cappadoccia.

“Dalam filem itu saya melakonkan karakter Ifti Liyana yang menjadi karakter utama dan sebagai ‘hero’. Selain itu, satu lagi karyanya, Pisau Cukur lakonan saya bersama Maya Karin,” katanya.

Selain Bernard, Fazura turut mengagumi hasil kerja sutradara dan pelakon terkenal, Erma Fatima.

“Erma juga antara pengarah yang suka memperkasakan wanita dalam karyanya. Saya suka bekerjasama dengan Erma kerana garapan karyanya yang berbeza,” katanya.

Menurutnya, di kaca TV penonton sentiasa disogok dengan paparan kisah yang menunjukkan wanita sebagai lemah dan sentiasa menjadi mangsa.

“Di TV banyak kisah cinta tiga segi yang menunjukkan wanita menjadi mangsa keadaan dan sebagainya. Sekarang adalah masa untuk meraikan wanita.

FAZURA akui lebih selesa bekerja di samping pengarah yang dirasakan mampu menghasilkan karya terbaik.
FAZURA akui lebih selesa bekerja di samping pengarah yang dirasakan mampu menghasilkan karya terbaik.

“Contohnya, di Amerika Syarikat banyak organisasi mula memperkasakan dan menonjolkan kelebihan wanita berbanding lelaki.

“Namun, di Malaysia perkara sebegini masih kurang diberi perhatian. Sebagai anak seni, kita perlukan lebih banyak karakter sebegini dan bukan watak wanita yang asyik dipukul dan kemudian pasrah dengan nasib diri,” katanya.

Selain itu, Fazura mengakui lebih selesa bekerja di samping pengarah yang dirasakan mampu menghasilkan karya terbaik.

“Saya kini berada di tahap boleh memilih karya dan karakter. Saya ada pilihan untuk menimbang tara skripnya, siapakah pengarahnya dan bagaimana jalan cerita sesebuah karya sebelum menerimanya,” kata Fazura.

Isteri kepada pelakon Fattah Amin ini juga berkongsi mengenai suaminya yang sentiasa menjadikan dirinya sebagai tempat rujukan jika menerima tawaran berlakon.

“Tahun ini adalah tahun Fattah mengembangkan lakonannya. Dia sangat ‘ghairah’ dalam kerja seni dan ingin mencuba pelbagai karya.

“Saya kagum dengannya kerana dia sudah boleh berfikir karya apa yang sesuai untuk diterima. Sesekali, ada juga minta pandangan saya.

“Dia sangat bertuah kerana ada beberapa produksi luar negara yang nampak bakatnya dan menawarkan beberapa projek. Insya-Allah dia akan teruskan kerjayanya di luar negara,” katanya.

DENDAM PONTIANAK

Terbaharu, Fazura rancak mempromosikan filem lakonannya, Dendam Pontianak yang menggandingkannya dengan aktor hebat, Remy Ishak.

“Saya pernah berlakon dengan Remy sebelum ini dalam drama Tahajjud Cinta. Namun, saya tidak ada banyak babak dengannya. Kali ini kami berkolaborasi sebagai hero dan heroin.

“Saya sudah lama nak bekerja dengan Remy kerana sangat meminati lakonannya. Remy antara pelakon berwibawa dan berdisiplin tinggi,” katanya.

Memegang watak sebagai Mina, Fazura ternyata tidak sabar menantikan tayangan filem seram romantik itu.

“Jika menonton filem ini, kalian akan nampak keunikan dari sudut sinematografi, warna dan banyak hal yang dipaparkan,” katanya.

Dendam Pontianak akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 September depan.

FAZURA bersama Fattah pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini.
FAZURA bersama Fattah pada Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Ogos 2019 @ 5:40 AM