ANI Mayuni. FOTO IG Ani Mayuni
ANI Mayuni. FOTO IG Ani Mayuni
Zaara Talita
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi Ani Mayuni, 43, enggan dibayangi dengan cara menyanyi dangdut yang sinonim dengannya dan menjadikan rakan, Misha Omar sebagai rujukan ketika membawakan lagu Naluri, nyanyian asal Datuk Nora Ariffin.

Ani atau nama sebenarnya Aishah An-Nur Osman berkata dia cuba yang terbaik untuk keluar dari zon selesanya saban minggu apabila bertanding di pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) ini. 

"Kalau ditanya sama ada saya berpuas hati atau tidak dengan hasil persembahan sendiri, rasanya biarlah mereka yang mendengar menilai sendiri. Semua sedia maklum, saya penyanyi dangdut dan tiba-tiba membawakan lagu balada. 

"Saya membayangkan Misha ketika menyanyikan lagu itu dan keluarkan Ani Mayuni yang sedia ada. Namun, tidaklah sehingga meniru cara nyanyian Nora kerana ada pula yang membandingkannya nanti. 

"Saya cuba bawa kelainan, ambil 'jiwa' Misha, meski tidaklah seratus peratus sepertinya. Sedikit sebanyak, saya nak tukar 'tone' suara itu.Tidak mahu terlalu kepit macam bila nyanyikan lagu genre dangdut. 

"Tapi saya sudah cuba berikan yang terbaik biarpun itu bukanlah genre muzik keselesaan saya. Malah, saya juga tidak pernah menyanyikan lagu Naluri di mana-mana persembahan sebelum ini," kata Ani. 

Terdahulu, Ani Maiyuni memperolehi markah 58.10 peratus daripada juri profesional, sekali gus melayakkannya untuk mara bersaing dalam konsert seterusnya. 

Kesemua bintang GV8 kali ini diadili Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz selaku juri tetap, manakala Datuk AC Mizal sebagai juri jemputan. 

Sementara itu, Anugerah Digi Next Level dimenangi penyanyi Aweera manakala pemenang Bintang Cuckoo Healty Home berpihak kepada Sa.Ya dianggotai Saiful Apek dan Yassin, pada malam Ahad lalu.

GV8 menawarkan hadiah lumayan berupa wang tunai RM100,000 kepada juara, RM50,000 (naib juara) dan RM30,000 tempat ketiga berserta trofi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 2:13 PM