Muhaamad Hafis Nawawi


POLIS membuka kertas siasatan kes kematian Nur Aliya Syifa Murad, 5, yang dadanya tertusuk serpihan batu pengasah mata pisau mesin rumput di Kampung Tanjung Besar, Kubang Rotan, Alor Setar, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya sudah memperoleh perintah mahkamah untuk menggali semula kubur kanak-kanak itu bagi proses siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 304 A Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Proses menggali kubur itu akan dilakukan pagi esok (hari ini) dengan dihadiri pakar patologi untuk bedah siasat semula di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Selepas siasatan selesai, kita akan serahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata, bapa kanak-kanak terbabit juga sudah dirakam keterangannya.

Harian Metro melaporkan Nur Aliya Syifa, disahkan meninggal dunia selepas dadanya tertusuk serpihan batu pengasah mata pisau mesin rumput di rumah mereka.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Nur Aliya dikatakan berada dalam rumah ketika bapanya mengasah mata mesin pemotong rumput namun tiba-tiba keluar sebelum rebah akibat terkena serpihan batu pengasah itu.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Besar, 11 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 12:09 AM