SAKSI keenam, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr Mohd Shah Mahmood hadir  di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes  pembunuhan  Kim Jong-nam. FOTO Syarafiq Abd Samad
SAKSI keenam, Ketua Jabatan Forensik HKL, Dr Mohd Shah Mahmood hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi perbicaraan kes pembunuhan Kim Jong-nam. FOTO Syarafiq Abd Samad
Sarah Zulkifli


MAHKAMAH Tinggi Shah Alam, hari ini, diberitahu bahawa agen racun VX yang menjadi penyebab kematian warga Korea Utara Kim Chol (juga dikenali sebagai abang pemimpin Kim Jong-nam) adalah senjata kimia paling berbahaya.

Ketua Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Mohd Shah Mahmood berkata, berdasarkan ujian kimia yang dijalankan terhadap mayat mangsa, racun itu ditemui pada cecair membran mata, muka, dan dalam darah Kim Chol.

"Racun VX itu terkumpul di bahagian mata dan muka mangsa dan jika dibandingkan antara mata dan muka, kadar serapan racun berkenaan adalah cepat melalui mata," katanya ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam perbicaraan kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, masuk hari ketiga.

Beliau yang juga saksi keenam pendakwaan itu berkata, harapan untuk hidup bagi individu yang terkena racun VX terbabit adalah tipis kerana ia sangat toksik dan menghasilkan komplikasi dengan cepat.

"Kebarangkalian untuk mati bagi seseorang yang terkena racun VX itu amat tinggi dan berdasarkan maklumat diberikan oleh pegawai penyiasat berhubung waktu kematian mangsa, berlaku dalam masa yang amat singkat," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Shah berkata, hasil pengesahan racun VX melalui ujian yang dijalankan oleh Jabatan Kimia menunjukkan komplikasi yang menyebabkan kematian mangsa adalah disebabkan kegagalan sistem pernafasan.

"Simptom dialami mangsa yang dimaklumkan Jururunding Patologi Forensik, Dr Norliza Abdullah, boleh dikaitkan dengan simptom individu yang terkena racun VX itu antaranya, pedih mata, banyak berpeluh, banyak cecair dalam mulut dan salur pernafasan," katanya.

Siti Aisyah, 25 dan Doan Thi Huong, 28, yang didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-nam, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 9 pagi, 13 Februari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Jong-nam yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Beliau dilapor berada di Malaysia sejak 6 Februari.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

Berita berkaitan :

Pembunuhan Jong Nam

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 6:20 PM