SHOMIM (kiri) bersama anaknya, Mohd Aziz di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM.  Gambar kecil, keadaan di Kem Pelarian Kutu Palong Bangladesh yang dikirim melalui WhatsApp kepada Shomin Mohammad Tufail oleh keluarganya. FOTO Supian Ahmad
SHOMIM (kiri) bersama anaknya, Mohd Aziz di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya PERKIM. Gambar kecil, keadaan di Kem Pelarian Kutu Palong Bangladesh yang dikirim melalui WhatsApp kepada Shomin Mohammad Tufail oleh keluarganya. FOTO Supian Ahmad
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: “Hampir setiap bulan saya memperuntukkan antara RM50 hingga RM200 untuk membantu meringankan beban pelarian Rohingya, sekali gus mengubah nasib bangsa sendiri dan bukannya menyerahkan tugas itu kepada masyarakat dunia khususnya rakyat Malaysia semata-mata,” kata Shomim Muhammad Tufail, 29.

Guru di Pusat Pendidikan Muhajirin Rohingya Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Ampang itu berkata, perkara itu sudah menjadi azamnya sejak menjejakkan kaki ke Malaysia, empat tahun lalu.

Menurutnya, dia bersyukur kerana ‘penghijrahannya’ ke Malaysia secara haram melalui sempadan Thailand pada 2012 memberikannya pendapatan bulanan yang tetap hasil pendidikan di sebuah universiti di Myanmar.

“Waktu memasuki Malaysia dulu, saya sudah berazam jika mendapat rezeki tetap di sini, saya akan membantu mengikut kemampuan diri untuk membantu nasib pelarian Rohingya lain yang lebih memerlukan.

“Walaupun mungkin nilai RM50 itu tidaklah sebanyak mana, tapi ia memberi saya kepuasan yang tidak tergambar apabila dapat melihat riak wajah bangsa sendiri yang benar-benar dalam kesusahan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia lapan dan lima tahun itu berkata, dia juga bersyukur dengan keprihatinan ditunjukkan pemimpin dan rakyat negara ini termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyalurkan sumbangan kepada etnik Rohingya.

“Jika penerima memerlukan jumlah belanja yang besar selain daripada bantuan keperluan makanan seperti beras, minyak masak, biskut dan tepung yang boleh dilakukan sendiri, saya akan cuba meminta bantuan daripada pihak NGO.

“Kebanyakan NGO ini sedia membantu mengikut kemampuan masing-masing walaupun ada sesetengah pelarian ini, mereka juga berasa malu apabila terpaksa meminta-minta setelah kehilangan segala-galanya,” katanya.

Menceritakan tentang nasib adik-beradik termasuk ibunya di Rakhine selepas konflik berdarah terbaharu 25 Ogos lalu, Shomim berkata, tidak ada satu waktu pun yang terlepas daripada titipan doa buat keselamatan ibu serta tiga adiknya di bandar Buthidaung, Rakhine.

“Serangan junta tentera Myanmar memusnahkan rumah serta dua kedai runcit yang diusahakan keluarga sejak enam tahun lalu memaksa keluarga melarikan diri ke Bangladesh.

“Alhamdulillah, selepas 12 hari menempuhi perjalanan hutan tebal, merentasi tujuh hingga lapan bukit, mereka selamat tiba di kem pelarian Kutu Palong, Bangladesh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 6:32 AM