GAMBAR ihsan ITBM
GAMBAR ihsan ITBM
HM Digital


JUTAWAN kosmetik, Datuk Seri Vida, hari ini, melancarkan bukunya bertajuk ‘I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida’ pada Pameran Buku Antarabangsa Indonesia (IIBF), Jakarta.

Vida atau Hasmiza Othman, berkata buku itu setebal 157 halaman dan menghimpunkan 15 bab siri pengalamannya dalam membangunkan dan mengembangkan empayar perniagaan.

“Buat mereka yang mahu memulakan perniagaan amat berguna kerana ada panduan bagaimana untuk tidak tersasar,” katanya di majlis pelancaran buku itu, di Pusat Konvensyen Jakarta.

GAMBAR ihsan ITBM
GAMBAR ihsan ITBM

Turut hadir Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Zamsari Shaharan; Pengerusi Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Budiman Mohd Zohdi dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron.

Vida berkata, beliau berpuas hati dengan penghasilan bukunya itu ketika jadualnya yang amat padat.

“Penulis menjalankan kerja dengan baik. Dia berjaya memberikan roh terhadap apa yang saya mahu sampaikan dan buku ini seperti apa yang saya impikan.

“Banyak penerbit menghubungi saya tetapi akhirnya saya memilih ITBM,” katanya.

Penulis, Zinitulniza Abdul Kadir memberitahu, temu bual dengan jutawan kosmetik itu memerlukan kira-kira enam jam dan proses penyusunan bab ke bab pula lebih dua minggu.

“Ia tidak semudah disangka kerana DSV (Vida) mempunyai ideanya sendiri bagaimana ia harus dilakukan,” katanya.

Mohd Khair pula berkata, tempahan awal untuk buku itu amat memberangsangkan dengan lebih 5,000 naskhah sudah ditempah menerusi akaun Facebook Vida.

‘I Am Me: Rahsia Niaga DS Vida’, berharga RM68 senaskhah, boleh didapati di semua kedai buku utama di Malaysia dalam dua minggu akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2017 @ 5:58 PM