NOH Omar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Mohd Faizal (dua kiri) dan ibunya, Azizah (kiri) di rumah mereka di Blok P, Sawah Sempadan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
NOH Omar (tengah) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut, Mohd Faizal (dua kiri) dan ibunya, Azizah (kiri) di rumah mereka di Blok P, Sawah Sempadan. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin

"WALAUPUN terkejut dan sedih dengan kejadian pokok menimpa rumah kami hingga ranap, namun hati saya terubat dan berterima kasih apabila ada pihak tampil menghulur bantuan bagi meringankan beban," ujar pemilik kediaman Azizah Ahmad, 52.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi Isnin lalu, rumah pusaka berusia 60 tahun milik mangsa ranap dihempap pokok Pulai setinggi 27 meter dalam kejadian ribut di Blok P, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, Selangor.

Azizah bersama dua anaknya, Mohd Faizal Rosdi, 33 dan Nor Asyikin Rosdi, 13, bagaimanapun terselamat meskipun rumah mereka runtuh dan menimpa mereka.

Azizah berkata, dia sekeluarga kini tinggal sementara di sebuah inap desa yang dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menurutnya, dia berasa takut ketika kejadian ribut itu berlaku dan berdoa kepada Allah SWT supaya mereka dilindungi.

"Saya tak sangka pokok Pulai berusia lebih 100 tahun itu boleh tumbang. Bayangkan, ia (pokok) besar dan tinggi hingga meranapkan rumah yang kami duduki.

"Bagaimanapun, saya sekeluarga bersyukur dapat keluar walaupun rumah runtuh sama sekali dan hati rasa terubat apabila ada pihak datang menjenguk dan memberi bantuan untuk kami," katanya selepas menerima kunjungan Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar di rumahnya, semalam.

Sementara itu, Noh berkata, sebanyak lapan rumah di Sawah Sempadan terjejas akibat kejadian ribut itu.

Beliau berkata, pihaknya akan menyalurkan peruntukan penyediaan menambak tanah di rumah milik Azizah dengan kadar segera.

Berita berkaitan

Rumah pusaka 60 tahun ranap ditimpa pokok [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 6:58 PM