EWAL bersama Ziha.
EWAL bersama Ziha.
Oleh Norhayati Nordin


Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail, 23, mula menunjukkan minat mendalam terhadap seni suara sejak kanak-kanak.

Pelbagai kejayaan dalam pertandingan diraih sama ada di dalam dan luar negara. Malah sebelum nekad mencuba nasib dalam persaingan Akademi Fantasia 2014 (AF2014) tahun lalu, Ewal juga menghasilkan tiga album, termasuk satu dirakam di Hollywood.

Pentas AF2014 serta kehadiran single Kembalikan Semula nyanyiannya menarik perhatian peminat tetapi belum cukup untuk membantu melonjakkan namanya.

Namun Ewal tidak pernah putus harapan, sebaliknya terus me­ngambil peluang yang ada di depan mata. Selesa bergerak solo, Ewal juga tidak menolak apabila ditawarkan merakam lagu duet.

Selain duet dengan Indah Ruhaila, Cerita Cinta Kita, Ewal juga muncul dengan lagu Sayang Sayang dengan Ziha untuk OST super telefilem Strawberi & Karipap Hello Gold Coast.

Selepas ini, Ewal juga bakal muncul dengan single baharu, Seluruh Hidup hasil ciptaan sendiri sepenuhnya. Katanya, lagu Seluruh Hidup tidak ditujukan kepada sesiapa, sebaliknya lebih kepada umum.

“Saya harap lagu ini diterima peminat. Bagi saya, tidak salah mencuba. Apa lagi ia karya hasil ciptaan sendiri. Sebagai penya­nyi, mencipta lagu juga satu kebolehan.

“Memandangkan saya turut dianugerahkan Tuhan bakat mencipta lagu, selagi termampu saya pasti terus berkarya. Saya tidak akan sekali-kali berhenti,” katanya.

Selain nyanyian, Ewal juga menerima tawaran berlakon tetapi katanya, bidang nyanyian tetap keutamaan manakala berlakon bersandarkan tawaran diterima.

“Saya lebih seronok dan puas jika menyanyi. Justeru, bidang lakonan buat masa ini menjadi platform untuk saya timba pengalaman.

“Hingga kini, saya berlakon empat drama dan satu teater. Boleh dikatakan masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Kata Ewal, dia bercadang berhenti berlakon buat seketika untuk memberi tumpuan kepada nyanyian. Buat masa ini Ewal akui sedang mengatur beberapa perancangan.

Mengenai hubungan rapatnya dengan Ziha, bintang alih suara siri Ultraman Zero siaran Astro Ceria, Ewal berkata, mereka seperti adik-beradik.

Katanya, Ziha yang juga rakan seangkatan di AF2014 pun sudah ada teman istimewa dan dia juga mengenali teman Ziha.

“Selain Ziha, saya juga rapat dengan Nuha. Bahkan setiap hari kami akan berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp untuk bertanya khabar dan berbual mengenai muzik.

“Saya selesa bersahabat dengan Nuha kerana kami berdua sangat minat dengan muzik. Kami juga gemar mencipta lagu.

“Di antara saya dan Nuha, kami sangat serasi untuk berkongsi pendapat mengenai penciptaan lagu. Kami saling membantu sesama sendiri,” katanya.

Mengenai gosip yang terpalit pada dirinya, Ewal berkata dia tidak harapkan cerita seperti itu tetapi sebagai selebriti, dia menerima dengan hati terbuka.

“Setiap gosip itu bagi saya perkara biasa. Setidak-tidaknya de­ngan gosip itu ada juga cerita mengenai saya. Asalkan tidak keterlaluan, saya tak kesah dan ambil peduli pun.

“Apa pun, masih terlalu awal untuk saya berbicara soal jodoh kerana perjalanan dalam membina dan memantapkan karier seni masih jauh.

“Sekarang fokus saya memang pada karier sepenuh­nya,” katanya.

Ewal juga selesa membabitkan diri dengan program kanak-kanak dan enggan bersikap ‘diva’ apa lagi memilih. Katanya, menjadi sasarannya untuk dikenali peminat tidak kira peringkat umur.

“Saya tidak sangka ada peminat dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:02 AM