Kenderaan yang membawa Sultan Ibrahim Iskandar memasuki perkarangan Istana Bukit Serene. Gambar kecil, Muhd Zakir. FOTO  Mohd Azren Jamaludin
Kenderaan yang membawa Sultan Ibrahim Iskandar memasuki perkarangan Istana Bukit Serene. Gambar kecil, Muhd Zakir. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein


SEORANG penuntut dari Singapura dan bapanya mencuri tumpuan media apabila sanggup datang dari Tempines kerana tidak mahu melepaskan peluang melihat istiadat perkahwinan puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dengan pasangannya, Dennis Muhammad Abdullah.

Muhd Zakir Zakaria, 22, dan bapanya, Zakaria Rahim, 51, sanggup mengambil cuti dan bertolak selepas Subuh dari seberang tambak sebelum sanggup menunggu di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Kehadiran mereka menarik perhatian kerana hanya anak-beranak berkenaan sahaja orang awam yang berada di kawasan itu.

Muhd Zakir, bapanya dan seorang wakil media dari Singapura antara yang berkumpul di luar perkarangan istana bersama 10 pengamal media tempatan untuk membuat liputan istiadat perkahwinan itu yang bermula hari ini dengan istiadat pertunangan dan pernikahan.

Dia yang begitu teruja berkata, dia amat menyukai kesederhanaan Tunku Tun Aminah dan sifat belas kasihan puteri itu terhadap haiwan.

"Melihat beliau ketika memberi bantuan dalam kejadian kebakaran di Hospital Sultanah Aminah dulu betul-betul menarik perhatian saya.

"Saya mula meminati keluarga diraja Johor, lebih-lebih lagi apabila bertemu sendiri dengan Tunku Tun Aminah di sebuah kafe di bandar raya ini setahun lalu.

"Beliau seorang yang ramah dan saya sangat suka peribadinya selain gaya fesyen yang sering digayakannya," katanya.

Muhd Zakir dan bapanya juga akan menyaksikan istiadat persandingan yang akan dipancarkan menerusi skrin digital gergasi di Dataran Bandaraya Johor Bahru, malam ini.

Sementara itu, seawal 8.45 pagi, kelihatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah tiba memasuki gerbang istana sebelum diikuti Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim termasuk kerabat diraja lain.

Turut dilihat memasuki perkarangan istana ialah kerabat diraja Pahang dan Perak dan diakhiri dengan ketibaan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebelum pagar istana itu ditutup 9.45 pagi untuk memberi laluan kepada istiadat yang diadakan secara tertutup itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:39 PM