Aizat Sharif

SERAMAI 16 ahli kongsi gelap Geng 35 Sungai Petani termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas tuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak dua tahun lalu.

Tertuduh ialah M Sayhisvaran, 19, S Ganes Kumar, 24, G Sethu, 27, P Sritharan, 23, S Magheswaran, 25, V Karthik, 26, S Nanthakumar, 35, S Gunabalan, 23, T Viveganath, 25, S Thiyagu, 29, K Sukumaran, 30, Muhammad Hafiz Abdullah, 30, Lu Choon Chuan, 36, S S Kesavan, 35 dan adik-beradik, Y Thibagar, 28 serta Y Kartik, 25.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng 35 Sungai Petani awal Januari 2015 hingga 18 Julai 2017.

Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Subseksyen 130V(1), Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah subseksyen sama dengan membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara jika disabitkan kesalahan.

Semua tertuduh mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim M Vijayalakshmi.

Vijayalakshmi tidak membenarkan sebarang jaminan dikenakan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Pendakwa Raya dari Mahkamah Putrajaya, Saiful Edris Zainuddin dan dibantu oleh timbalannya, Muhammad Fadzlan Mohd Nor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, perkarangan mahkamah dipenuhi ahli keluarga serta sanak-saudara tertuduh yang sudah menunggu sejak pagi bagi mengikuti prosiding kes berkenaan.

Malah, atas faktor keselamatan, tertuduh juga dikawal ketat oleh Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Polis Diraja Malaysia yang sudah berada di mahkamah sejak tengah hari.

Selain itu juga, media tidak dibenarkan masuk ke kamar mahkamah untuk membuat liputan dan terpaksa menunggu di luar mahkamah sehingga prosiding kes selesai bagi tujuan keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:52 PM