PELARI AS ungguli acara 100m dunia selepas atasi pilihan utama.
PELARI AS ungguli acara 100m dunia selepas atasi pilihan utama.
AFP

London: Pelari Amerika Syarikat, Tori Bowie (gambar) mengecewakan pilihan utama dari Jamaica, Elaine Thompson untuk menjuarai 100m dunia semalam, ketika atlet New Zealand Tomas Walsh mendominasi acara lontar peluru dangan lontaran menakjubkan.

Di depan penyokong yang memenuhi Stadium London, atlet lompat bergalah Greece Ekaterina Stefanidi dan atlet heptatlon Nafi Thiam turut menjulang gelaran dunia selepas meraih pingat emas Olimpik di Rio tahun lalu.

Sehari selepas aksi Usain Bolt bagi final acara 100m dibayangi pencabarnya Justin Gatin, Tori memastikan pasukan AS menjadikan kedudukan 2-0 dalam acara pecut menewaskan Jamaica pada hari ketiga kejohanan.

Tori menebus kekecewaan pingat perak Olimpik Rio dengan menjatuhkan badan ke garisan penamat dengan catatan 10.85s, 0.01 saat mendahului pelari Ivory Coast Marie-Josee Ta Lou, manakala Elaine kelima (10.98).

“Saya tidak mengalah hinggalah melepasi garisan penamat,” kata Tori.

Tori menjatuhkan badannya ke tanah sebaik melepasi garisan dan pada mulanya Marie-Josse yang meraikan kemenangan sebelum keputusan menyatakan sebaliknya.

“Saya tidak tahu saya akan menang,” kata Tori. “Satu perkara yang saya tahu, saya akan berhabis-habisan hingga ke garisan penamat.”

Elaine bermula dengan baik tetapi semakin perlahan selepas separuh jalan, gagal mencari kekuatan tambahan yang sentiasa dilakukannya sepanjang musim.

Marie-Josee kelihatan mendahului tetapi Tori mencuri peluang dengan menjatuhkan badannya untuk merampas gelaran itu daripada pelari Ivory Coast.

Dalam acara padang, Walsh mempamerkan aksi menakjubkan, melakukan lontaran sejauh 22.03 meter pada percubaan keenam dan terakhir dalam lontar peluru.

Bekas buruh binaan berusia 25 tahun itu mengatasi juara bertahan dari AS, Joe Kovacs, yang sekadar melakukan 21.66m.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 5:09 AM