Rushani (dua kiri) ditemani anaknya menunggu jenazah di Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk dikebumikan. (Gambar kecil) Allahyarham Hamzani. FOTO Ravale Savarinathan
Rushani (dua kiri) ditemani anaknya menunggu jenazah di Unit Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) untuk dikebumikan. (Gambar kecil) Allahyarham Hamzani. FOTO Ravale Savarinathan
Ravale Savarinathan


PENGETUA Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) Hamzani Suien, 46, meninggal dunia di dalam keretanya yang diparkir berhampiran asrama sekolah itu awal pagi tadi.

Hamzani ditemui meninggal dunia oleh pengawal keselamatan kira-kira 3 pagi selepas merasa curiga melihat enjin kereta itu dihidupkan dalam tempoh lama dan kenderaan tidak bergerak.

Isterinya, Rushani Abd Razak, 44, berkata, suaminya yang baru melaporkan diri bertugas di sekolah itu pada 6 April lalu dikatakan melakukan rondaan keselamatan di sekeliling kawasan sekolah bagi memastikan ia selamat.

Katanya, arwah dikatakan berhenti sekejap di pondok pengawal untuk berbual dengan pengawal keselamatan sebelum mengadu letih dan mahu berehat sekejap di dalam keretanya berhampiran pondok itu.

"Namun, selepas lama kereta tidak bergerak dengan enjin masih hidup, pengawal berkenaan memberitahu saya yang dia rasa tidak sedap hati terus ke kereta dan mendapati suami saya dalam keadaan kaku dan tidak sedarkan diri sebelum disahkan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan (HTI) hari ini.

Rushani berkata, kali terakhir bertemu suaminya ialah pagi Isnin lalu apabila Allahyarham bersahur untuk berpuasa enam hari bulan Syawal di rumah mereka di Meru, Klang, Selangor sebelum ke SEMESTI untuk bertugas.

Katanya, mereka sekeluarga menunggu laporan Jabatan Forensik HTI untuk mengetahui punca sebenar kematian suaminya itu dan dibawa ke Meru, Klang, untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 5:41 PM