Penduduk meninjau rumah mereka yang musnah. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
Penduduk meninjau rumah mereka yang musnah. - Foto ABDUL RAHEMANG TAIMING
Hazsyah Abdul Rahman


“SAYA dan sambilan ahli keluarga baru selesai bersiap untuk mengunjungi rumah saudara-mara sempena Aidilfitri apabila tiba-tiba anak lelaki jiran beritahu ada api dalam bilik rumah mereka.

“Saya segera keluar dan cuba membantu memadam api namun gagal sebelum lari menyelamatkan diri bersama dua beradik terbabit," kata Mubin, 42, antara saksi awal kebakaran di Kampung Hidayat, Batu Empat, Jalan Apas, Tawau, petang semalam.

Mubin berkata, api merebak pantas dan dia juga tidak sempat menyelamatkan apa-apa dari rumahnya.

“Ketika cuba membantu memadam kebakaran itu, api sudah sampai ke siling.

“Menyedari gagal memadam kebakaran, saya membawa dua beradik itu keluar untuk menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, sebelum kejadian hanya dua beradik berusia 15 dan 17 tahun itu berada di rumah manakala ibu bapa dan ahli keluarganya menghadiri kenduri arwah.

Pelbagai dokumen penting dan semua barang di rumahnya yang sudah dihuni lebih 30 tahun lalu, musnah dan kini mereka menumpang di rumah keluarga di Balung.

Seorang lagi saksi, Sharif Azhar, 28, berkata ketika api merebak menuju ke rumah ibunya di jambatan empat, dia sempat melaungkan azan.

"Kejadian berlaku pantas dan sangat mencemaskan. Lagipun rumah di sini diperbuat daripada kayu.

“Api terhenti selang tiga rumah dari rumah kami dan kami tidak terfikir untuk keluarkan barang-barang dari dalam rumah," katanya yang bersyukur rumah keluarganya tidak musnah dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 4:24 PM