Keadaan bangunan yang musnah akibat letupan bom kereta di Kabul. - Foto AP
Keadaan bangunan yang musnah akibat letupan bom kereta di Kabul. - Foto AP
Seorang mangsa yang cedera terbaring menunggu bantuan dalam serangan bom kereta di Kabul, hari ini. - Foto REUTERS
Seorang mangsa yang cedera terbaring menunggu bantuan dalam serangan bom kereta di Kabul, hari ini. - Foto REUTERS
Agensi

JUMLAH yang maut dalam serangan bom di Kabul hari ini, meningkat kepada 80 orang orang dengan lebih 350 lagi cedera, akibat letupan bom besar di kawasan yang menempatkan banyak kedutaan asing itu.

AFP melaporkan jurucakap Kementerian Luar Afghanistan menyatakan jumlah korban adalah 64 namun Reuters yang memetik sumber hospital dan pasukan keselamatan, meletakkan angka korban 80 orang.

Menurut AFP, Menteri Hal-Ehwal Luar Eropah, Marielle de Sarnez, berkata kedutaan Jerman dan Perancis antara yang rosak dalam serangan itu.

AP melaporkan mayat bergelimpangan di jalan raya dengan kepulan asap tebal dari kawasan letupan dipercayai bom kereta. Banyak tingkap bangunan, termasuk kedutaan dan kediaman pecah.

Setakat ini sasaran serangan belum dapat dipastikan namun menurut pihak berkuasa, sebahagian besar mangsa adalah orang awam. Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Serangan itu berlaku dekat satu persimpangan di daerah Wazir Akbar Khan, kawasan yang dianggap paling selamat di Kabul kerana banyak kedutaan asing dan bangunan kerajaan, dilindungi tembok setinggi lebih tiga meter, dikawal polis dan tentera.

Antara kedutaan asing di kawasan itu ialah Jerman, Britain, Kanada, China, Turki dan Iran serta bangunan Kementerian Luar Afghanistan. Istana Presiden juga terletak di kawasan itu.

Letupan itu amat kuat hingga menyebabkan lebih 30 kenderaan sama ada musnah atau rosak teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2017 @ 3:32 PM