Norhaslinda (kiri) dan Nur Hidayatul Nadhrah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didakwa mencuri barang kemas bernilai RM25,000 daripada seorang suri rumah di Kampung Parit Selamat, Yong Peng. FOTO Adi Safri
Norhaslinda (kiri) dan Nur Hidayatul Nadhrah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didakwa mencuri barang kemas bernilai RM25,000 daripada seorang suri rumah di Kampung Parit Selamat, Yong Peng. FOTO Adi Safri
Essa Abu Yamin


DUA wanita bermadu yang menyamar sebagai jururawat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, hari ini, atas tuduhan mencuri barang kemas seorang suri rumah bernilai RM25,000, dua bulan lalu.

Norhaslinda Resat, 36, dan madunya, Nur Hidayatul Nadhrah Misman, 25, dituduh secara bersama mencuri seutas rantai emas, tiga gelang emas dan tiga cincin emas bernilai RM25,000 milik suri rumah, Zabaidah Aspan pada 7 April lalu di Kampung Parit Selamat, Yong Peng.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah sama, rakan subahat dua madu terbabit, Mohd Tarmizi Jamil, 30, yang berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah, Pahang, turut didakwa menerima harta curi dalam bentuk wang tunai berjumlah RM1,400 yang diketahui adalah hasil curi.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lokasi dan waktu sama, selain didakwa mengikut Seksyen 411 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah dan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim menetapkan jaminan RM6,000 setiap seorang bagi dua madu berkenaan manakala tertuduh lelaki diperintah membayar jaminan sebanyak RM5,000.

Mahkamah menetapkan sebutan kes itu pada 31 Mei ini dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 2:50 PM