SEORANG lelaki berlumuran darah selepas ditikam anak lelakinya yang sakit mental dalam kejadian di rumah mereka berhampiran Pasar Bachok, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
SEORANG lelaki berlumuran darah selepas ditikam anak lelakinya yang sakit mental dalam kejadian di rumah mereka berhampiran Pasar Bachok, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Nor Amalina Alias


Bachok: Seorang lelaki dipercayai menghidap masalah mental menikam bapanya dalam kejadian di rumah mereka berhampiran Pasar Bachok, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11 pagi itu, suspek berusia 23 tahun menikam bapanya berusia 66 tahun dipercayai akibat marah apabila mendengar anak saudaranya menangis.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, menurut saksi yang juga anak saudara perempuan suspek berusia 16 tahun, ketika kejadian, dia bersama suspek dan mangsa berada di rumah bersama seorang lagi adiknya berusia empat tahun.

Katanya, saksi memaklumkan suspek memarahi mangsa kerana tidak tahan mendengar adiknya menangis dan bertindak memukul mangsa menggunakan tangan.

"Saksi cuba menghalang suspek, namun tidak berjaya dan melihat suspek pergi ke dapur dan mengambil sebilah pisau berhulu warna hitam.

"Suspek kemudiannya menikam bapanya beberapa kali di bahagian kepala, leher dan anggota badan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa luka di leher kanan, bahagian atas kepala, telinga sebelah kiri, tapak tangan kiri dan calar pada lengan sebelah kiri.

Menurutnya, saksi kemudian melarikan diri bersama adiknya dan meminta tolong manakala mangsa menelefon anak lelakinya yang lain untuk memaklumkan kejadian amuk itu.

Katanya, anak mangsa pulang ke rumah mangsa dan meminta suspek meniarap di lantai dan membawa keluar mangsa sebelum membawanya mendapatkan rawatan dan membuat laporan polis.

"Hasil siasatan awal, suspek adalah pesakit mental yang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sejak lima tahun lalu dan mengambil ubat setiap enam bulan.

"Punca kejadian adalah kerana suspek tidak suka mendengar anak saudaranya menangis dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan keputusan ujian air kencing didapati negatif dadah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 10:03 PM