PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM)  Datuk SM Muthu.
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk SM Muthu.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Hampir setahun terperuk tanpa sebarang kejohanan kompetitif, atlet olahraga negara akhirnya berpeluang menyertai kejohanan antarabangsa apabila Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bercadang menghantar mereka menyertai pertandingan yang berlangsung di Jepun pada Mei ini.

Kejohanan itu boleh dikatakan antara platform terbaik negara sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan lebih besar terutama Sukan Olimpik yang hanya berbaki empat bulan lagi.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, setakat ini, kejohanan di Jepun itu boleh dikatakan agak sesuai untuk disertai atlet negara berdasarkan kelonggaran diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, KOM perlu membuat permohonan terlebih dahulu kepada KBS untuk menyertai kejohanan itu sebelum mendapat lampu hijau untuk menghantar atlet.

"Jika melihat kepada situasi semasa, kejohanan yang boleh disertai oleh atlet negara ketika ini adalah di Jepun kerana kita perlu membuat permohonan terlebih dahulu iaitu dalam tempoh 90 hari.

"Sudah tentu pendedahan atlet di kejohanan luar negara akan memastikan mereka lebih bersedia selepas hampir setahun tidak menyertai sebarang kejohanan. Kita tidak akan menghantar semua atlet menyertai kejohanan terbabit, hanya ada antara mereka dilihat memerlukan penyertaan di pertandingan peringkat antarabangsa akan dihantar nanti," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 8:37 PM