MUTHU akui KOM  tidak dapat menilai secara lebih terperinci kemampuan atlet olahraga.
MUTHU akui KOM tidak dapat menilai secara lebih terperinci kemampuan atlet olahraga.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keupayaan atlet olahraga negara masih lagi menjadi tanda tanya sekali gus mendorong Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengadakan satu lagi kejohanan dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Datuk SM Muthu berkata, ketika ini pihaknya tidak dapat menilai secara lebih terperinci kemampuan dan kebolehan atlet olahraga berikutan kekurangan kejohanan disertai mereka akibat pandemik Covid-19.

Beliau berkata, walaupun menghadapi kekangan membabitkan dana namun pihaknya tetap menganjurkan kejohanan sebelum menetapkan sasaran pada penyertaan di Sukan Sea Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou.

Katanya, latihan yang dilakukan atlet ketika ini dilihat tidak mencukupi untuk meningkatkan lagi kemampuan masing-masing jika mereka tidak kerap diuji di pentas kejohanan.

"Jika cakap mengenai sasaran buat atlet olahraga sememangnya agak sukar untuk kita beri kesimpulan awal kerana mereka kurang menyertai kejohanan. Sebab itu, KOM mahu menganjurkan siri kejohanan dalam waktu terdekat ini iaitu selewatnya pada Mac atau April sebelum kemampuan atlet berkenaan dapat dinilai.

"Kami mengharapkan atlet olahraga terus menyumbang pingat buat negara pada tiga kejohanan penting itu walaupun ada antara mereka tidak lagi berada dalam program podium," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, rata-rata atlet olahraga negara menyertai kejohanan adalah pada saingan tertutup olahraga kebangsaan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada 18 dan 19 Disember ini lalu.

Kebanyakan atlet olahraga negara kekurangan penyertaan pertandingan di peringkat antarabangsa berikutan pandemik Covid-19 sekali gus menjejaskan momentum dan persediaan mereka untuk menyertai kejohanan lebih besar kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 January 2022 @ 10:47 PM