AKSI Sofia ketika menentang Camila di Melbourne. FOTO AFP
AKSI Sofia ketika menentang Camila di Melbourne. FOTO AFP
AFP

Melbourne: Sofia Kenin mengakui dia sangat gementar menjelang misi mempertahankan gelaran Terbuka Australia tetapi kembali semula ke venue kejohanan mengimbau kenangan manis detik kejayaannya.

Pemain nombor empat dunia itu kembali ke Melbourne Park namun tidak lama di atas gelanggang selepas lawannya, Camila Giorgi terpaksa menarik diri akibat kecederaan paha di kejohanan Yarra Valley Classic.

Sofia menang set pertama 7-5 dalam saingan sengit tetapi berharap dapat beraksi lebih lama selepas tewas pada suku akhir pembuka tirai WTA di Abu Dhabi bulan lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu kembali ke gelanggang yang menyaksikan dia menjulang Grand Slam menewaskan Garbine Muguruza dengan tiga set tahun lalu.

Sofia berkata prospek mempertahankan kejuaraan menjadi lebih mencabar apabila Terbuka Australia bermula 8 Februari.

"Saya tak nafikan memang sangat gementar. Ia kali pertama saya kembali ke Grand Slam sebagai juara bertahan,'' katanya.

"Sudah tentu, ada kerisauan tetapi saya akan mencuba yang terbaik dan kita tunggu apa akan berlaku."

Pemain Amerika Syarikat muncul pencabar utama dalam saingan musim lalu yang terjejas akibat pandemik koronavirus apabila meneruskan momentum dari Melbourne dengan mara ke final Terbuka Perancis untuk melonjak ke ranking keempat dunia.

"Saya rasa dengan perlawanan dan kejayaan saya harungi tahun lalu, ia akan membantu saya,'' katanya.

Selepas tamat kuarantin 14 hari dan menjalani latihan lima jam sehari bersama bekas juara Terbuka Perancis, Jelena Ostapenko, pemain kelahiran Moscow, Sofia berkata dia sangat gembira dapat kembali ke Melbourne.

"Ia sangat istimewa dan bangga dapat ke sini. Saya cuba mengawal emosi di atas gelanggang. Saya gembira menang dan dengan cara permainan saya,'' katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 1:02 PM