Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bukan permulaan tahun baharu yang diimpikan oleh atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin apabila mengesahkan dirinya positif Covid-19.

Menerusi perkongsian di Insta Story miliknya, pemegang rekod kebangsaan itu yang kini berpangkalan di Leipzig, Jerman untuk menjalani latihan berkata, dia berasa tidak sihat sejak Selasa lalu.

"Selasa lalu badan rasa tak sedap. Alang-alang insurans dekat sini ada perlindungan ujian swab corona (Covid-19), jadi saya buatlah ujian. Semalam (kelmarin) keputusan keluar positif," katanya yang memenangi pingat emas empat kali berturut-turut pada empat temasya Sukan Sea berbeza dengan yang terakhir di Filipina tahun lalu.

IRFAN rasa tak sedap badan.
IRFAN rasa tak sedap badan.

Irfan yang kini menjalani proses kuarantin berkata, situasi di sana jauh berbeza berbanding di Malaysia yang disifatkannya lebih baik.

"Dekat sini kalau positif kena kuarantin sendiri dekat rumah. Kalau dah nak mati baru boleh pergi hospital. Beruntunglah siapa yang kena Covid dekat Malaysia. Positif je terus ambulans datang angkut walaupun korang rasa OK," katanya.

Sebelum ini, jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong muncul atlet pertama negara disahkan positif Covid-19.

Dia terpaksa ditahan di Hospital Sibu selama 73 hari sebelum dibenarkan untuk keluar dari hospital.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 12:29 PM