KHAIRULNIZAM (kanan) dan Shazrin tempah tiket Olimpik Tokyo.
KHAIRULNIZAM (kanan) dan Shazrin tempah tiket Olimpik Tokyo.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Susulan tiada kejohanan kompetitif sepanjang tahun ini akibat Covid-19, skuad pelayaran negara tidak sabar untuk memulakan latihan intensif menerusi siri Jelajah Eropah, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo dan beberapa kejohanan utama tahun depan.

Setakat ini, dua pelayar negara iaitu Khairulnizam Mohd Affendy dan Nur Shazrin Mohd Latif telah menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo.

Jurulatih negara Mohd Affendy Abdullah berkata pihaknya sudah merangka siri jelajah itu, yang dijadualkan bermula seawal Februari bagi memantapkan skuad kebangsaan dalam menghadapi beberapa kejohanan penting itu.

Beliau berkata bagi memastikan perancangan itu berjalan lancar, Mohd Affendy merayu kepada kerajaan untuk menyediakan vaksin Covid-19 dengan segera, terutamanya kepada atlet yang bakal mewakili negara ke temasya Tokyo 2020 pada Julai tahun depan.

"Kami harap, kerajaan boleh berikan vaksin dengan segera supaya atlet kita boleh mendapat pendedahan di luar negara. Saya lihat Indonesia dan Singapura sudah pun mula untuk dapatkan vaksin.

"Kalau ikut perancangan siri jelajah ini akan bermula pada Februari, tapi jika dapat vaksin lebih awal, mungkin kita boleh sertai kejohanan dan latihan di Australia pada Januari depan, sama seperti tahun-tahun sebelum ini, dan kemudian siri Jelajah Eropah," katanya.

Beliau berkata skuad pelayaran dijangka ke Abu Dhabi bagi menyertai kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik terakhir, iaitu Kejohanan Pelayaran Asia pada Februari dan selepas itu akan melakukan siri Jelajah Eropah sehingga Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:30 PM