AVENGERS meraikan kejayaan.
AVENGERS meraikan kejayaan.
Syazwan Msar

 

Kuala Lumpur: Pasukan Avengers mengesahkan status sebagai juara Kejohanan Berpasukan Campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas melakar kemenangan 6-5 ke atas Terminators pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini. 

Kemenangan itu sekaligus meletakkan Avengers yang dipimpin Soh Wooi Yik naik ke tangga teratas, berkongsi dua mata sekali gus Terminators terpaksa akur bergelar naib juara.  Terminators yang diterajui Lee Zii Jia bermula baik, meraih mata pertama menerusi Chow Mei Kuan-Pearly Tan yang menundukkan pasangan Myisha Mohd Khairul-Valeree Siow Zi Xuan 15-8, 15-6. 

Goh Soon Huat-Cheah Yee See mengikat kedudukan selepas unggul dalam beregu campuran, menewaskan Chen Tang Jie-Lai Pei Jing 15-13,15-12 namun Zii Jia kembali meletakkan Terminators di depan 2-1 selepas menang ke atas Jacky Kok Jing Hong

Wooi Yik mula mengatur kebangkitan Avengers apabila mengikat kedudukan  dua sama selepas gandingannya bersama Chia Weijie menang ke atas Goh Sze Fei-Low Hang Yee.

ACARA  tiga sepasukan lelaki mencuri tumpuan.
ACARA tiga sepasukan lelaki mencuri tumpuan.

Cheam June Wei dan Eoon Qi Xuan masing masing menyumbang satu mata selepas menang ke atas lawan masing masing sekaligus meletakkan Avengers mendahului 4-2. 

Lee Shun Yang merapatkan jurang 3-4 untuk Terminators selepas menundukkan Shaqeem Eiman namun Goh Jin Wei kembali menjarakkan mata selepas menundukkan Siti Nurshuhaini Azman 8-15, 15-8, 11-6. 

Sementara itu, beregu campuran, Muhd Haikal Nazri-Low Yeen Yuan serta trio wanita pasukan Terminators, Chow Mei Kuan, Lai Pei Jing, dan Pearly Tan menambahkan kehangatan saingan apabila memberikan mata untuk Terminators selepas menewaskan lawan masing masing sekaligus mengikat kedudukan lima sama.

Acara tiga sepasukan lelaki yang turut disertai dua kapten, Lee Zii jia dan Soh Wooi Yik menjadi tumpuan.  Sorakan padu rakan rakan sepasukan tampak masih belum memadai untuk Terminators mengekalkan rekod tanpa kalah dalam kesemua perlawanan. 

Gandingan Goh Sze Fei-Lee Zii Jia dan Low Han Yee akur tewas di tangan trio Avengers Chia Weijie-Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun untuk mengesahkan pasukan Avengers sebagai juara.

Menurut Wooi Yik, dia begitu gembira apabila kemenangan berpihak kepadanya. 

''Saya sasarkan kemenangan dalam bergu dan perseorangan lelaki tetapi kami tewas dalam perseorangan lelaki dan tidak jangka berlawan sehingga perlawanan tiga sepasukan. 

''Kredit kepada semua pemain pemain kerana kita akan sentiasa berbincang untuk cari dan perbaiki kekurangan,'' katanya. 

Meskipun tewas, Lee Zii Jia tetap berbangga dengan prestasi rakan sepasukan sepanjang saingan Berpasukan Campuran BAM yang bermula sejak Isnin. 

''Semangat pasukan kami bagus dan semua pemain beraksi dengan serius dan berikan yang terbaik. "Walaupun tewas tetapi saya gembira lihat terutama pemain remaja cari pengalaman daripada pemain senior dan semua memberi sokongan sehingga ke perlawanan terakhir," katanya. 

Transformers menamatkan saingan di tangga ketiga keseluruhan, berkongsi satu mata dengan Dominators. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 7:03 PM