ANTARA aksi menarik kategori perseorangan lelaki.
ANTARA aksi menarik kategori perseorangan lelaki.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pasukan Terminators terus mendominasi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas menundukkan Transformers 8-3 sekali gus meraih kemenangan kedua berturut turut. 

Namun sedikit berbeza berbanding hari pertama, kapten pasukan, Lee Zii Jia turun dalam dua perlawanan. 

Beliau memulakan aksi bergandingan dengan Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran menentang gandingan muda, Yap Roy King-Peck Yen Wei. Zii Jia-Pei Jing nyata tidak berdepan masalah melakar kemenangan 15-10, 15-9 untuk mata pertama Terminators. 

''Kami memang sudah biasa berlatih bersama ketika sesi latihan. Saya pun sudah biasa dengan dia (Lee Zii Jia) dan kami tiada masalah komunikasi ketika di gelanggang.

''Segalanya bergantung kepada macam mana kita pimpin rakan sepasukan. Kita akan belajar bagaimana untuk mencari mata dan melakar kemenangan walaupun dengan rakan beregu yang berbeza,'' kata Pei Jing. 

Leong Jun Hao menyamakan kedudukan untuk Transformers selepas menundukkan Wyman Goh namun gandingan Chow Mei Kuan-Pearly Tan kembali meletakkan Terminators di depan 2-1 selepas menundukkan pasangan Vivian Hoo-Yap Ling dalam acara beregu campuran. 

Transformers sekali lagi menyamakan kedudukan, kali ini menerusi beregu lelaki, Chang Yee Jun-Nur Izzuddin yang menang ke atas Goh Sze Fei-Low Hang Yee 14-15, 15-12, 11-9. 

Perseorangan wanita, Lee Ying Ying memastikan mata ketiga untuk Terminators selepas menang ke atas K Letshaana sebelum beregu campuran, Muhd Haikal Nazri-Low Yeen Yuan melebarkan kedudukan 4-2 selepas menang ke atas Wan Muhd Arif Wan Junaidi-Cheng Su Hui. 

S Kisona cuba merapatkan jurang mata kepada 3-4 untuk Transformers selepas mengatasi Siti Nurshuhaini Azman 15-9, 15-8. Namun Terminators menutup sisa perjuangan Transformers yang dipimpin Tan Kian Meng apabila membolot baki empat mata terakhir. Lee Shun Yang menyumbang mata kelima selepas menewaskan Juston Hoh dalam aksi perseorangan lelaki disusuli trio wanita, Chow Mei Kuan, Lai Pei Jing, Pearly Tan yang menang ke atas Peck Yen Wei, Vivian Hoo, Yap Ling. 

Zii Jia sekali lagi cemerlang menyumbang mata kali ini dalam saingan perseorangan lelaki selepas menang ke atas Aidil Sholeh . Trio lelaki, Chen Tan Jie, Goh Sze Fei dan Low Han Yee menutup saingan hari kedua selepas menang ke atas Chang Yee Jun, Leong Jun Hao, Nur Izzuddin. 

''Kami akan berikan yang terbaik esok kerana masih belum menang lagi dan perlu melihat keputusan pasukan lain,'' kata Pei Jing lagi.

Terminators kekal di tangga teratas dengan dua mata dan akan turun menentang pasukan Avengers yang diketuai pemain bergu lelaki, Soh Wooi Yik dalam perlawanan terakhir esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:00 PM