LUQUE menjawab soalan pemberita selepas selesai menjalankan pembedahan ke atas Maradona di Olivos, Buenos. FOTO AFP
LUQUE menjawab soalan pemberita selepas selesai menjalankan pembedahan ke atas Maradona di Olivos, Buenos. FOTO AFP
AFP

Buenos Aires: Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di otak, menurut doktornya sebentar tadi.

"Kami berjaya sepenuhnya membuang darah beku dan Diego tidak berdepan sebarang masalah,'' kata Leopoldo Luque selepas tamat pembedahan di klinik persendirian dekat Buenos Aires.

"Ia terkawal, cuma ada sedikit sisa dalam saluran (darah beku). Dia akan terus di bawah pemantauan.''

Pemenang Piala Dunia, Maradona, 60, dibawa ke hospital kelmarin untuk ujian lanjut selepas mengadu tidak sihat sejak beberapa hari lalu.

Ujian imbasan menunjukkan terdapat darah beku dengan media Argentina menimbulkan spekulasi terdapat hentakan di kepalanya.

Semalam, Luque mendakwa Maradona berasa agak sihat dan sedia meninggalkan hospital tetapi menegaskan jurulatih Gimnasia Y Esgrima itu berdepan penyakit anemia akibat kekurangan zat besi dan air.

Luque berkata situasi itu menyebabkan dia berasa sangat lemah dan keletihan. Selepas ujian lanjut terdapat darah beku di kepalanya dan dipindahkan ke hospital di La Plata.

Luque menganggap cara hidup Maradona menyumbang keadaannya sekarang.

Bersama legenda Brazil, Pele yang berusia 80 tahun bulan lalu, Maradona dianggap salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 12:11 PM