GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohamad Haniki Nik Mohamed

Tanggal 12 Julai 2023, Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 yang bertujuan mengawal penjualan serta pembelian produk tembakau, bahan-bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok masih tiada kata putus. Ia kerana RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai kesihatan bagi penelitian lanjut. Oleh itu, RUU yang sepatutnya dilaksanakan segera bagi mengawal industri tembakau yang berkembang pesat menyebabkan penguatkuasaan terhadap jualan dan pengedaran produk tembakau terutamanya rokok elektronik tidak dapat dilaksanakan.

Keadaan ini amat membimbangkan terutamanya setelah cecair dan gel nikotin rokok elektronik diberi pengecualian sebagai bahan terkawal mengikut Akta Racun 1952 pada April tahun ini bagi membolehkan produk terbabit dijual secara terbuka dan dikenakan cukai. Situasi undang-undang yang masih berada di awang-awangan membuatkan perjuangan untuk menghentikan tabiat merokok kini menjadi lebih sukar dan memerlukan usaha aktif daripada orang awam untuk bersama-sama mencari jalan demi membendung ketagihan merokok di Malaysia.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada 2019 melaporkan terdapat 4.8 juta rakyat Malaysia berumur 15 tahun dan ke atas kini sedang merokok dan menganggarkan terdapat lebih daripada 27,200 kematian rakyat Malaysia setiap tahun adalah berkaitan tabiat merokok. Meskipun dapatannya menyedihkan, kita masih ada harapan. Data menunjukkan perokok memang berusaha membendung ketagihan nikotin mereka dengan hampir separuh (48.9 peratus) daripada perokok semasa telah cuba berhenti merokok sejak 12 bulan lalu.

Namun, ada persoalan yang belum terjawab. Bagaimanakah cara untuk berhenti merokok dan yang lebih penting, apakah kaedah terbaik melakukannya?

Sesetengah perokok beralih kepada rokok elektronik atau vape. Namun, alternatif ini masih memerlukan bukti saintifik yang lebih kukuh untuk menentukan keberkesanan dan keselamatannya dalam membantu perokok berhenti merokok. Tambahan, perihal kebimbangan terhadap kurangnya pengawal aturan kandungan rokok elektronik dan vape.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menyatakan bahawa penyelidikan yang dijalankan masih tidak membuahkan hasil yang jelas mengenai keberkesanan rokok elektronik dalam meningkatkan kadar pemberhentian tabiat merokok. Produk ini juga mampu meniru penghantaran nikotin daripada rokok konvensional yang kemudiannya hanya menukar ketagihan daripada rokok kepada ketagihan rokok elektronik.

Kajian kes dalam Jurnal Perubatan British juga menunjukkan perokok yang memilih menggunakan rokok elektronik untuk membantu berhenti merokok mempunyai kadar merokok semula atau relaps yang lebih tinggi.

Antara kaedah popular ialah berhenti merokok secara mendadak atau mengurangkan bilangan rokok yang dihisap setiap hari. Bagaimanapun, kaedah ini sukar direalisasikan kerana ia memerlukan ketahanan mental yang sangat kuat agar tidak tergoda untuk mencapai sebatang rokok tatkala keinginan yang kuat terhadap nikotin berlaku. Oleh itu, kaedah ini bukanlah cara paling berkesan untuk berhenti merokok. Berdasarkan pengalaman klinikal bersama para perokok di klinik berhenti merokok, didapati lebih 90 peratus perokok yang memilih untuk berhenti sendiri tanpa bantuan profesional kesihatan terlatih gagal menahan diri. Ia disebabkan mereka tidak dapat mengatasi keinginan membuak-buak dan gejala penarikan yang selalunya berlaku selama beberapa minggu pertama seseorang cuba berhenti merokok.

Oleh itu, sudah tiba masanya supaya orang awam mendapat kesedaran berkaitan penyelesaian sedia ada yang mendapat kelulusan perubatan serta terbukti mampu membantu menghentikan tabiat merokok. Terapi Gantian Nikotin (NRT) telah diluluskan sebagai produk 'over-the-counter' (OTC) sejak Oktober tahun lalu. Orang awam perlu mengambil kesempatan akan pengawal aturan ini kerana NRT adalah kaedah berkesan dan selamat untuk membantu perokok menghentikan merokok.

Lebih banyak usaha boleh dilakukan untuk mengetengahkan dan mempromosi penggunaan NRT seperti kebanyakan ubat OTC lain yang boleh dibeli tanpa preskripsi. NRT juga harus dibincangkan dalam lebih banyak wacana pendidikan kesihatan. Penjual juga boleh menyusun produk NRT di sebelah rak atau kaunter tempat rokok dijual!

NRT ialah kaedah yang selamat dan berkesan untuk mengurangkan perasaan tidak selesa akibat penarikan nikotin secara mendadak yang teruk terutamanya apabila perokok memilih untuk berhenti secara mendadak. Nikotin dalam tembakau mengubah cara otak berfungsi lalu menjadikan otak seseorang perokok bergantung kepada nikotin untuk berasa tenang. Oleh itu, apabila seseorang tidak merokok untuk seketika maka dia mungkin akan cepat marah, sukar menumpukan perhatian atau sukar tidur. Ini adalah beberapa gejala penarikan nikotin yang lazim berlaku.

Penggunaan NRT mampu membantu menghentikan kitaran ini terutamanya mengurangkan kegiatan untuk mendapatkan nikotin dan gejala penarikan. Ia disebabkan oleh NRT berfungsi dengan membekalkan nikotin teraputik ke dalam aliran darah pada tahap yang jauh lebih rendah berbanding sebatang rokok tanpa bahan kimia berbahaya dalam asap rokok seperti tar, karbon monoksida dan lain-lain. Jadi, NRT dapat membantu melegakan keinginan merokok yang kuat tanpa menyebabkan perubahan drastik terhadap gaya hidup dan kesejahteraan mental seseorang perokok secara keseluruhannya. Oleh itu, NRT telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai rawatan utama yang berkesan dan selamat untuk membantu perokok berhenti merokok.

Penulis Profesor di Kulliyyah Farmasi, Jabatan Amalan Farmasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kuantan, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 6:00 AM