SAKIT perut dan cirit-birit perlu dipandang serius kerana boleh menjadi sebab
SAKIT perut dan cirit-birit perlu dipandang serius kerana boleh menjadi sebab
Hafiz Ithnin


JANGKITAN denggi menjadi igauan ngeri kepada mereka yang pernah merasai pengalamannya kerana ia memberi kesan buruk kepada tahap kesihatan si pesakit.

Pertambahan kes denggi yang dilaporkan di seluruh negara baru-baru ini meningkatkan kesedaran awam untuk terus berwaspada terhadap tanda-tanda amaran yang berkaitan penyakit itu.

Pakar Perubatan Kecemasan dari Pusat Perubatan Sunway, Dr Aaron Lai Kuo Huo berkata, kepentingan pengesanan awal jangkitan denggi bagi memudahkan rawatan segera dan mengurangkan risiko komplikasi yang mungkin berlaku.

"Menurut Panduan Amalan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pengurusan jangkitan denggi, antara tanda amaran yang perlu diperhatikan dan dipantau rapi adalah sakit perut, muntah berterusan melebihi tiga kali sehari, cirit-birit berterusan melebihi tiga kali sehari, mengantuk, sukar bernafas, gusi atau hidung berdarah serta najis berwarna hitam.

"Pesakit perlu segera mendapatkan rawatan perubatan di jabatan kecemasan atau klinik pengamal am (GP) bergantung kepada tahap keterukan dan kebolehcapaian," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya mengalami sebarang gejala atau tanda amaran yang teruk atau pesakit tergolong dalam kumpulan yang berisiko dijangkiti denggi, mereka perlu mengutamakan rawatan perubatan di jabatan kecemasan di hospital.

"Gejala utama denggi yang lain ialah sakit kepala, sakit badan, ruam dan sakit di belakang mata. Walaupun simptom ini mungkin menyamai penyakit biasa yang lain seperti selesema, kebiasaannya pesakit denggi turut mengalami sakit otot dan sendi yang lebih teruk serta boleh menyebabkan komplikasi lebih kronik seperti denggi berdarah (DHF) atau sindrom kejutan denggi (DSS).

"Ciri-ciri DHF dan DSS ialah pendarahan dalaman yang teruk, kiraan platelet yang rendah, kebocoran plasma dan kerosakan organ. Proses diagnostik biasa untuk demam denggi membabitkan kombinasi penilaian klinikal dan ujian makmal.

"Terlebih dahulu, doktor akan menilai simptom pesakit yang biasanya dikaitkan dengan denggi dan sama ada pesakit tinggal di kawasan endemik denggi atau pernah mengunjungi kawasan wabak denggi dalam masa terdekat," katanya.

SEMBURAN kabus antara dilakukan jika ada kawasan yang mempunyai kes denggi yang tinggi.
SEMBURAN kabus antara dilakukan jika ada kawasan yang mempunyai kes denggi yang tinggi.

Katanya, doktor akan menilai status hemodinamik pesakit dan memeriksa tanda-tanda komplikasi pendarahan akibat denggi. Oleh kerana diagnosis klinikal denggi tidak spesifik, maka diagnosis definitif denggi memerlukan pengesahan makmal.

"Ujian makmal yang tersedia untuk diagnosis denggi termasuk ujian pengesanan pantas denggi (Antigen Denggi NS1, antibodi IgM/IgG Denggi), ujian serologi denggi (digunakan untuk mengenal pasti antibodi melawan denggi) dan pengesanan RNA virus denggi (digunakan untuk mengesan bahan genetik, RNA virus denggi dalam darah).

"Ujian darah lain yang sering dilakukan ialah kiraan darah penuh untuk mengetahui kiraan platelet, sel darah putih, paras hematokrit dan sel darah merah.

"Kiraan platelet dan bilangan sel darah putih yang rendah adalah sesuatu yang biasa berlaku apabila mengalami denggi. Ujian fungsi buah pinggang atau fungsi hati juga boleh dilakukan untuk memeriksa kerosakan organ terutama dalam kes denggi yang teruk," katanya.

Katanya, dalam kes denggi yang teruk, imbasan sinar-X pada bahagian dada atau pengimejan ultrabunyi (point-of-care ultrasound) pada anggota badan lain akan dilakukan untuk mengesan sekiranya ada pengumpulan cecair akibat saluran darah yang rosak serta menilai tahap kerosakan organ.

DENGGI berasal dari pembawakan nyamuk aedes.
DENGGI berasal dari pembawakan nyamuk aedes.

"Melalui penilaian klinikal dan ujian makmal, doktor boleh memastikan kebarangkalian jangkitan denggi, fasa jangkitan denggi dan tahap keterukan penyakit itu.

"Fasa demam iaitu demam yang berlanjutan selama tiga hingga lima hari. Dalam fasa ini, pesakit akan mengalami demam dan sakit sendi, sakit otot, sakit kepala serta gejala lain," katanya.

Tambahnya, perubahan paling ketara dalam kiraan darah lengkap ialah penurunan mendadak kiraan sel darah putih, diikuti dengan pengurangan paras platelet.

Selepas itu, pesakit mungkin memasuki Fasa Kritikal yang boleh bertahan antara 48 hingga 72 jam.

"Pada peringkat ini, pesakit mungkin mengalami gangguan peredaran darah yang berbeza-beza. Dalam kes yang teruk, pesakit akan mengalami komplikasi serius seperti pendarahan dalaman, pembentukan lebihan cecair dalam paru-paru atau perut, tekanan darah rendah, kegagalan buah pinggang dan hati serta koma sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Bagaimanapun, dalam kes ringan, pesakit selalunya tidak mengalami sebarang peredaran darah yang luar biasa dan akan pulih dengan sendirinya.

IMBASAN sinar X-ray dilakukan jika ada gumpalan cecair akibat saluran darah yang rosak akibat denggi.
IMBASAN sinar X-ray dilakukan jika ada gumpalan cecair akibat saluran darah yang rosak akibat denggi.

"Selepas Tahap Kritikal, pesakit akan melalui Fasa Pemulihan apabila gejala denggi beransur hilang, manakala kiraan platelet darah dan sel darah putih kembali normal," katanya.

Jelasnya, pesakit yang dijangkiti virus denggi perlu dirujuk kepada fasiliti penjagaan kesihatan bagi mendapatkan diagnosis yang tepat dan memberikan rawatan betul.

"Sebagai contoh, pesakit yang mengambil ubat anti-radang bukan steroid (NSAID) seperti aspirin dan masih mengambilnya biarpun selepas dijangkiti denggi, berpotensi meningkatkan risiko pendarahan.

"Segera merujuk doktor untuk mengharungi fasa yang mencabar itu," katanya.

Dr Aaron menjelaskan, faktor iklim seperti suhu dan taburan hujan memainkan peranan penting dalam pola jangkitan denggi di Malaysia. Sebagai langkah mitigasi daripada mendapat denggi, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi, Dr Aaron mengesyorkan penggunaan ubat nyamuk yang mengandungi diethyltoluamide (DEET) dan memasang kelambu atau skrin ketika tidur.

"Menghapuskan sumber air yang bertakung adalah penting kerana kawasan ini boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Selain itu, pakai pakaian berlengan panjang dan jaga kebersihan persekitaran tempat tinggal kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:20 AM