Nurul Husna Mahmud


Insiden pelakon Maya Karin yang menggigil dan seakan-akan hampir pitam dalam acara Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM) tahun lalu adalah disebabkan serangan panik.

Hal itu mendapat perhatian apabila ia tular di TikTok dan sejak itu lebih ramai mula mengambil tahu maklumat berkenaan serangan panik.

Serangan panik boleh berpunca daripada kebimbangan atau ketakutan melampau dan ia antara salah satu gangguan psikologi.

Lebih banyak perkongsian dalam kalangan selebriti mengenai pengalaman masing-masing menjadikan orang ramai lebih peka terhadap isu kesihatan itu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Dr Mohd Hasnor Safwan Mohd Hasnan, serangan panik boleh berlaku secara tiba-tiba dan seseorang itu berasakan sukar bernafas atau ada kalanya berasa episod serang itu mirip serangan jantung.

"Serangan panik biasanya boleh berlaku secara tiba-tiba dan ia menyebabkan degupan jantung yang cepat, sukar bernafas dan rasa tertekan.

"Ia boleh dikaitkan dengan stres teruk atau kebimbangan dan ketakutan melampau. Tahap untuk setiap individu adalah berbeza-beza.

TEKNIK pernafasan dalam melatih menenangkan diri dengan menghalang isyarat stres dihantar ke otak.
TEKNIK pernafasan dalam melatih menenangkan diri dengan menghalang isyarat stres dihantar ke otak.

"Masalah serangan panik ini lebih ketara selepas pandemik atau pasca pandemik yang mana setiap rakyat Malaysia terkesan dengan Covid-19.

"Rentetan ketakutan dan kebimbangan terhadap wabak kemudian diikuti dengan kemerosotan ekonomi selain ramai isi rumah hilang peluang pekerjaan membuatkan gangguan psikologi ini lebih ketara," katanya.

Tambah pakar itu lagi, ketika pihaknya menjalankan Ujian Saringan Minda Sihat atau 'Depressiin Anxiety Stress Scale' (DASS) terhadap ratusan pekerja syarikat dan organisasi mendapati, terdapat peningkatan sekitar 50 hingga 60 peratus mengalami kebimbangan serius.

"Tidak hanya golongan pekerja, kanak-kanak dan remaja juga terkesan dengan Covid-19. Impak dibawa pandemik ini yang tiada kepastian baik penawar dan kaedah menanganinya membuatkan gejala akibat stres atau kebimbangan boleh berlaku.

"Paling ketara lebih ramai pernah mengalami masalah serangan panik. Keadaan mudah apabila mereka berada di tempat orang ramai, mereka rasa sukar bernafas selain rasa tercekik.

SERANGAN panik meningkat selepas pasca Covid-19.
SERANGAN panik meningkat selepas pasca Covid-19.

"Disusuli loya, degupan jantung laju dan rasa seperti akan mati. Mereka ini hilang kawalan dan boleh menjejaskan fungsi harian termasuklah urusan kerja atau hubungan dengan pasangan," katanya.

Katanya yang mesra disapa dengan Dr Safwan, serangan panik boleh ditangani dengan beberapa teknik dilakukan pesakit.

"Meskipun pakar masih belum menemui punca mengapa sesetengah orang mengalami serangan atau gangguan panik.

"Terdapat kajian mengaitkannya dengan fungsi otak dan sistem saraf ketika mengendalikan ketakutan serta kebimbangan," katanya.

Beliau berkongsi tiga teknik boleh diamalkan pesakit dalam membantu serangan panik. Keberkesanan ketiga-tiga teknik ini berbeza-beza untuk setiap individu.

Pakar itu menyarankan individu mengalami serangan panik menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengenalpasti masalah sebenar.

SAFWAN berkata keberkesanan teknik mengikut kepada tahap serius serangan atau keadaan individu.
SAFWAN berkata keberkesanan teknik mengikut kepada tahap serius serangan atau keadaan individu.

1. Teknik pernafasan 'deep breathing'

Teknik 'deep breathing' atau pernafasan mendalam sangat sesuai diamalkan pada mereka yang kerap berasa stres.

Individu yang mengalami serangan panik, keadaan saraf simpatetik jadi terlalu aktif dan bereaksi terhadap tekanan lalu menghantar isyarat ke otak. Jantung menjadi laju dan begitu juga pernafasan.

Kaedah pernafasan mendalam mengatur semula sistem itu dengan memperlahankan atau memutuskan isyarat kesan daripada stres itu.

Untuk teknik ini, individu itu perlu tarik nafas dalam kiraan empat dan tahan nafas selama empat saat serta menghembuskan nafas juga dalam kiraan empat.

Lagi banyak kiraan nombor contohnya kiraan lima, enam atau tujuh saat adalah opsyen buat mereka yang lebih baik dalam kawalan diri terhadap serangan itu.

Mereka yang lebih kerap mengamalkan teknik pernafasan ini lebih mudah menangani serangan panik jika berlaku.

2. Teknik 'progressive muscle relaxation'atau teknik relaksasi otot

Teknik ini adalah satu terapi tingkahlaku yang biasa diajarkan untuk meredakan perasaan cemas ataupun menghilangkan stres. Ia sangat sesuai bagi mereka yang terkena serangan panik.

Boleh dibuat ketika duduk ataupun baring, pastikan dalam kedudukan yang betul dan selesa. Kenakan pakaian yang selesa dan pilih tempat yang tenang dan senyap.

Kemudian, tarik nafas, regang atau lakukan pergerakan otot. Setiap pergerakan dibuat sambil menarik nafas secara perlahan- lahan selama 10 saat dan 'sempitkan' pergerakan otot. Selepas 10 saat relaks kembali ke posisi biasa. Lakukan pengiraan perlahan dan tenang.

Apabila cuba untuk relaks atau kurangkan ketegangan otot, cuba bayangkan dan hayati perubahan yang dirasai pada otot anda. Bayangkan sedang melepaskan satu perasaan stres yang berkumpul dalam diri.

Langkah akhir, tarik nafas dan rehat selama 10 saat dan kemudian beralih kepada pergerakan yang lain.

Urutan sebaiknya bermula dengan otot bahagian atas badan seperti regangan otot mata, muka dan barulah ke pergerakan otot lebih besar.

3. Teknik Grounding Exercise atau terapi memfokuskan deria sensori

Biasanya teknik ini selalu digunakan bagi mereka yang mengalami fobia. Contohnya jika individu itu berasa tertekan sehingga pitam, mereka boleh mengalih dengan mengalih perhatian kepada melatih sensori.

Contoh jika serangan panik berlaku dalam bilik tidur, sentuh tiga benda paling dekat dengan diri.

Biasanya dinding, fokus sentuhan sama ada licin atau menggerutu. Alih pula sentuhan kepada tilam dan fokus 'sensasi' sentuhan lembut tilam itu kepada fikiran.

Kemudian gunakan deria melihat untuk mengamati dan memproses ciri dilihat seperti warna atau bentuk dan sebagainya.

Alih terhadap warna atau ciri berlainan bagi membantu fikiran fokus kepada sensori atau 'maklumat' deria.

Keberkesanan ketiga-tiga teknik ini berbeza untuk setiap individu.

Pakar itu menyarankan individu mengalami serangan panik menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengenalpasti masalah sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 7:00 AM