RAWATAN yang sesuai perlu diberikan kepada pasangan yang mempunyai masalah untuk mempunyai zuriat secara normal.
RAWATAN yang sesuai perlu diberikan kepada pasangan yang mempunyai masalah untuk mempunyai zuriat secara normal.
Hafiz Ithnin


BAGI pasangan yang sudah berkahwin dan menginginkan zuriat, tetapi tidak mampu kerana masalah kesihatan mungkin sudah biasa mendengar mengenai masalah rahim jatuh.

Pengasas dan Perunding Kesuburan Metro IVF, Dr Tee Swi Peng berkata, rahim menurun atau uterine prolapse berlaku apabila otot-otot dasar pelvis dan ligamen sekitarnya meregang dan lemah.

Jelasnya, otot-otot ini tidak lagi memberikan sokongan yang cukup untuk rahim dan menonjol keluar melalui faraj.

"Bergantung kepada tahap keparahan rahim berkenaan, doktor akan mengesyorkan rawatan yang bersesuaian.

"Wanita yang dikatakan mempunyai rahim yang jatuh selepas kehamilan yang terdahulu masih boleh hamil. Jangan khuatir kerana peluang untuk hamil masih ada, tetapi perlu mengenal pasti penyebabnya," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa ujian mungkin akan disarankan doktor seperti ujian darah untuk melihat tahap hormon, ujian pelvis, HSG untuk melihat sama ada tiub falopio tersumbat dan imbasan untuk melihat rahim dan serviks.

UJIAN kesuburan perlu dilakukan untuk pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.
UJIAN kesuburan perlu dilakukan untuk pasangan yang sukar mendapatkan zuriat.

"Dalam sesetengah kes, berkemungkinan memerlukan pembedahan sekiranya ujian mendapati terdapat isu seperti endometriosis, fibroid atau polip.

"Pembedahan mungkin kedengaran seperti sesuatu yang amat ditakuti dan ingin dielakkan, tetapi jika ia dapat mengatasi isu kesihatan yang dialami maka pelu diberi pertimbangan yang sewajarnya," katanya.

Dr Tee berkata, sekiranya saringan kesihatan itu adalah normal, doktor mungkin akan mencadangkan sampel ujian air mani suami.

"Ubat-ubatan sering digunakan supaya hormon kembali normal dan membantu merangsang ovulasi.

"Kaedah rawatan kesuburan In Vitro Fertilisation (IVF) atau IUI juga antara yang dicadangkan bergantung kepada hasil pemeriksaan dan penilaian doktor kepada kedua-dua pasangan," katanya.

Jelasnya, IVF persenyawaan dilakukan di luar rahim di mana telur isteri dan sperma suami dikultur di dalam makmal serta kemudian dimasukkan semula dalam rahim isteri.

RAWATAN IVF antara yang disarankan sekiranya pasangan suami isteri sukar memiliki zuriat.
RAWATAN IVF antara yang disarankan sekiranya pasangan suami isteri sukar memiliki zuriat.

"Secara am, ketidaksuburan ditakrifkan apabila pasangan berusia di bawah 35 tahun sudah mencuba selama setahun tanpa sebarang alat pencegahan kehamilan manakala pasangan berusia 35 tahun ke atas pula sudah mencuba selama 6 bulan.

"Situasi sukar hamil lagi selepas berjaya hamil sebelumnya dikenali sebagai kesuburan sekunder atau 'secondary infertility'," katanya.

Jelasnya, dari segi peratus, keadaan kesuburan sekunder sama seperti kesukaran untuk hamil buat kali pertama bagi sesetengah pasangan iaitu sekitar 10 hingga 15 peratus.

"Jika wanita hamil dalam masa setahun selepas berkahwin, wanita itu tidak mempunyai sebarang isu kesuburan. Wanita berkenaan hamil mungkin ketika usia muda.

"Tetapi, jika mencuba untuk mendapatkan anak seterusnya, suami dan isteri memilih untuk menunggu suatu tempoh yang sesuai, tetapi gagal hamil maka agak sukar kerana mungkin faktor usia," katanya.

Pakar itu berkata, ketika dilahirkan, terdapat kira-kira satu juta telur dihasilkan oleh wanita. Ketika baligh, hanya 300,000 telur yang masih tinggal.

"Dari jumlah itu, hanya 300 hingga 400 telur yang akan mengalami ovulasi sepanjang usia reproduktif wanita.

ADA pasangan yang mempunyai anak juga sukar mempunyai zuriat seterusnya.
ADA pasangan yang mempunyai anak juga sukar mempunyai zuriat seterusnya.

"Kesuburan wanita akan menurun apabila umur wanita semakin meningkat kerana bilangan kuantiti dan kualiti telur yang semakin rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 6:36 AM