ALYSSA. FOTO Hospital Kanak-Kanak Great Ormond Street (Gosh) London
ALYSSA. FOTO Hospital Kanak-Kanak Great Ormond Street (Gosh) London
AFP

London: Pasukan perubatan Britain berjaya menggunakan rawatan perintis kepada seorang remaja yang mengalami leukemia agresif.

Remaja berusia 13 tahun itu muncul sebagai pesakit pertama menjalani terapi baharu dan sel kansernya menunjukkan pengurangan.

Alyssa, didiagnosis dengan leukemia limfoblastik akut (ALL) pada 2021, namun kanser darahnya tidak bertindak balas terhadap rawatan konvensional termasuk kemoterapi dan pemindahan sumsum tulang.

Remaja itu didafatarkan untuk projek percubaan klinikal rawatan baharu di Hospital Kanak-Kanak Great Ormond Street (Gosh) London menggunakan sel imun genetik daripada individu sihat.

Dalam tempoh 28 hari, sel kansernya berkurangan hingga membolehkan dia menerima pemindahan sumsum tulang kedua untuk memulihkan sistem imunnya.

Enam bulan kemudian, dia dibenarkan pulang ke rumahnya di Leicester, tengah England, dan masih menerima rawatan susulan.

Hospital Gosh berkata, Alyssa adalah pesakit pertama yang diketahui diberikan sel T yang 'disunting' membabitkan penukaran kimia asas nukleotida tunggal yang membawa arahan untuk protein tertentu.

"Tanpa rawatan eksperimen ini, satu-satunya pilihan Alyssa adalah penjagaan paliatif," kata hospital itu dalam satu kenyataan, Ahad lalu.

Perunding Gosh, Dr Robert Chiesa berkata, pemulihan remaja itu agak luar biasa walaupun keputusan masih perlu dipantau dan disahkan dalam beberapa bulan akan datang.

Dalam pada itu, Alyssa berkata, dia mengambil bahagian dalam percubaan klinikal itu bukan sahaja untuk dirinya, malah demi manfaat kanak-kanak lain.

Penemuan Alyssa yang memberangsangkan itu dibentangkan penyelidik pada mesyuarat tahunan Persatuan Hematologi Amerika, Ahad lalu.

ALL ialah sejenis kanser paling biasa menyerang kanak-kanak dan menjejaskan sel dalam sistem imun, dikenali sebagai sel B dan sel T yang berfungsi melawan dan melindungi tubuh badan daripada virus.

Sejak 2015, penyelidik di Hospital Gosh dan Kolej Universiti London membantu membangunkan penggunaan sel T yang disunting dengan genom untuk merawat leukemia sel B.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 1:04 PM