MEMBIARKAN bayi bermain soket penyambung mendedahkan mereka terkena renjatan elektrik. - FOTO Google
MEMBIARKAN bayi bermain soket penyambung mendedahkan mereka terkena renjatan elektrik. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


PENGGUNAAN tenaga elektrik tidak diurus secara efektif boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna sehingga membawa maut.

Secara luaran, mangsa renjatan elektrik mungkin dilihat tidak mengalami kecederaan serius.

Namun, kecederaan yang serius boleh terjadi pada organ dalaman seperti jantung, otot dan saraf berpunca daripada pengaliran arus elektrik.

Renjatan elektrik boleh mengakibatkan pelbagai jenis kecederaan bermula daripada luka melecur ringan sehingga kepada serangan jantung yang seterusnya mengakibatkan kematian.

Pakar Perubatan Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr Mohd Azim Ab Manap berkata, renjatan elektrik ialah pengaliran arus elektrik melalui anggota badan.

Menurutnya, ia boleh berlaku apabila tubuh bersentuhan atau terdedah pada sumber elektrik seperti suis, peralatan elektrik dan kilat.

"Insiden ini berlaku kerana badan manusia ialah konduktor (medium) bagi pengaliran arus elektrik.

"Kesan kecederaan renjatan elektrik kepada badan bergantung kepada jenis arus elektrik sama ada (arus ulang alik (AC) atau arus terus (DC), tempoh mangsa terdedah pada sumber elektrik, jumlah dan laluan tenaga elektrik pada tubuh mangsa," katanya.

Beliau berkata, kematian berlaku apabila pengaliran arus elektrik merentasi dada lalu mengakibatkan kegagalan jantung dan sistem pernafasan.

GUNA penebat untuk mengalihkan punca elektrik. - FOTO Google
GUNA penebat untuk mengalihkan punca elektrik. - FOTO Google

Selain itu, kematian juga boleh disebabkan oleh luka organ dalaman yang teruk.

"Risiko kematian boleh dikurangkan sekiranya mangsa dapat dialihkan daripada sumber elektrik dan bantuan awal diberikan," katanya.

Tiada perangkaan tepat bagi kes kecederaan atau kematian yang berlaku akibat renjatan elektrik di Malaysia.

Di Amerika syarikat, dianggarkan 1,000 kematian dengan 40 peratus kecederaan akibat renjatan elektrik direkodkan setahun.

Beliau berkata, sistem saraf juga berisiko mengalami kecederaan akibat renjatan kerana ia adalah organ yang mempunyai kerintangan terhadap arus elektrik rendah.

Ia pada masa sama membenarkan aliran elektrik apabila berlaku renjatan.

"Kesannya menyebabkan mangsa boleh mengalami sawan, kelumpuhan anggota badan, tidak sedarkan diri, gangguan penglihatan, pertuturan dan pernafasan.

Kecederaan pada saraf dan salur darah sering berlaku apabila mangsa mengalami renjatan elektrik bervoltan tinggi (melebihi 1,000 Volt)," katanya.

Dr Mohd Azim berkata, kecederaan pada salur darah boleh menyebabkan salur darah tersumbat, menjadi sempit dan bengkak berpunca daripada otot pada salur darah yang tidak dapat berfungsi dengan baik selepas renjatan elektrik.

"Renjatan elektrik juga boleh mengakibatkan otot mengalami kerosakan dan gagal berfungsi.

"Sekiranya ia membabitkan otot pada bahagian tangan atau kaki, segelintir mangsa mungkin memerlukan amputasi (pemotongan) sebahagian anggota badan yang tidak boleh berfungsi bagi menyelamatkan nyawa," katanya.

Jelasnya, arus ulang alik (AC) yang digunakan dalam peralatan perkakas di rumah menyebabkan mangsa sukar melepaskan diri daripada sumber elektrik.

KESAN terbakar akibat arus elektrik voltan tinggi. - FOTO Google
KESAN terbakar akibat arus elektrik voltan tinggi. - FOTO Google

Katanya, kekejangan otot yang kuat akan berlaku sekiranya mangsa tidak dialihkan.

Seterusnya, mangsa boleh mengalami patah tulang kerana tercampak daripada sumber elektrik dan kemungkinan sendi juga boleh terkehel.

Jelasnya, kesan lain akibat renjatan elektrik ialah luka melecur atau terbakar yang boleh dikategorikan kepada tiga tahap.

"Luka melecur tahap satu hanya membabitkan lapisan atas kulit (epidermis). Kulit menjadi kemerahan dan menyebabkan rasa sakit dan kebiasaannya, ia sembuh dalam tempoh tujuh hari.

"Luka melecur tahap dua berlaku pada lapisan epidermis dan dermis. Kulit menjadi kemerahan, sakit dan pembentukan gelembung air boleh berlaku. Tempoh penyembuhan antara empat hingga 21 hari serta akan meninggalkan sedikit parut.

"Terakhir ialah luka melecur tahap tiga yang merangkumi kesemua lapisan kulit dan struktur di bawah kuli seperti otot, saraf. Ia tidak menyebabkan kesakitan. Penyembuhan mengambil masa di antara tiga minggu hingga dua bulan serta meninggalkan parut kekal," katanya.

Menurut beliau, faktor usia mempengaruhi risiko mangsa meninggal dunia apabila terkena renjatan elektrik.

"Ini kerana kebanyakan warga tua mempunyai masalah kesihatan seperti masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis. Bagaimanapun, ia tidak mempengaruhi risiko pendedahan kepada sumber elektrik.

"Risiko terdedah kepada renjatan elektrik boleh berlaku kepada sesiapa saja dan peringkat usia daripada seawal usia bayi sehingga ke warga emas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 7:00 AM