WANITA yang kehilangan kemaluan dan payudara boleh menyebabkan kemurungan.
WANITA yang kehilangan kemaluan dan payudara boleh menyebabkan kemurungan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayina


PEMBEDAHAN plastik dan rekonstruktif boleh dianggap penyelamat kepada wanita yang kehilangan 'aset' akibat barah.

Ini kerana prosedur berkenaan memberi peluang membentuk, membaik pulih dan 'mengembalikan' semula aset itu.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Prof Dr Alizan Abdul Khalil berkata, pembedahan plastik rekonstruktif dilakukan untuk merawat luka besar yang tidak boleh ditutup secara semula jadi.

"Selain itu, ia memperbaiki dan membaik pulih fungsi, sekali gus memberikan kualiti hidup lebih baik kepada pesakit.

"Proses rekonstruktif dilakukan dengan mengambil tisu daripada bahagian tertentu (pesakit yang sama) dan dipindahkan ke tempat yang diperlukan.

"Ia terdiri daripada kulit, lemak, otot atau tulang (dipanggil flap) yang boleh dibentuk dan ditempatkan ke bahagian luar besar," katanya.

Beliau berkata, pembedahan rekonstruktif faraj bukan sahaja boleh dilakukan selepas pembedahan membuang barah, tetapi ditawarkan kepada pesakit fistula rektovagina (sambungan tidak normal di antara lubang dubur dan faraj yang najis sentiasa bocor di bahagian faraj).

"Atau membabitkan penyakit kystovaginal fistula (sambungan tidak normal di antara pundi kencing dan faraj apabila air kencing sentiasa bocor di bahagian faraj)," katanya.

Beliau berkata, pembedahan payudara pula ditawarkan kepada pesakit barah payudara menggunakan lebihan lemak perut di bawah pusat atau lemak di bawah tulang belikat.

DR Alizan
DR Alizan

"Lazimnya, saiz payudara yang direka bentuk semula ialah lima hingga 10 peratus lebih besar daripada yang asal.

"Ini kerana saiznya akan berkurangan mengikut masa dan selepas rawatan kemoterapi.

"Sekiranya terdapat perbezaan saiz pada masa hadapan, pembedahan kosmetik (suntikan lemak untuk menambahkan saiz atau sedut lemak untuk mengurangkan saiz payudara) boleh ditawarkan kepada pesakit," katanya.

Dr Alizan berkata, segelintir pesakit tidak kisah jika saiz payudara baharu tidak sama atau seimbang dan enggan melakukan pembentukan semula kerana mereka sudah berpuas hati dengan prosedur berkenaan.

"Pesakit barah payudara atau faraj yang ingin menjalani pembedahan rekonstruktif akan diberikan kaunseling terlebih dahulu.

"Saya bersama beberapa pakar lain akan mengadakan pertemuan dengan pesakit untuk berbincang bagi menjalankan prosedur rekonstruktif.

REKONSTRUKTIF payudara menggunakan implan.
REKONSTRUKTIF payudara menggunakan implan.

"Semasa sesi kaunseling, saya turut menjelaskan kepada pesakit bahagian tisu tubuh yang diambil untuk rekonstruktif ini," katanya.

Menurut Dr Alizan, pembedahan plastik dan rekonstruktif adalah proses rumit yang ada kalanya mengambil masa sehingga 12 jam.

"Namun kebiasaannya, prosedur yang kami lakukan hanya enam hingga 10 jam malah ia turut membabitkan pelbagai kepakaran.

"Walaupun pembedahan ini rumit, risikonya tidak terlalu tinggi atau berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 6:09 AM