Oleh Siti Zarinah

BAGI wanita yang pernah menjalani mastektomi (pembuangan payudara) akibat kanser, pastinya berhadapan pelbagai kerisauan. Selain terpaksa menangani tekanan selepas didiagnos kanser, golongan ini mungkin bimbang mengenai daya tarikan dan seksualiti selepas pembedahan.

Akibatnya wujud rasa malu, rendah diri dan kurang keyakinan terutama apabila melihat salah satu payudara mereka sudah tiada. Ini juga punca utama kaum hawa lambat menerima rawatan disebabkan takut kehilangan anggota badan yang diibaratkan sebagai mahkota wanita.

Menurut Perunding Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif Tangan dan Pembedahan Mikro, MSU Medical Centre ( MSUMC), Prof Dr Arman Zaharil Mat Saad berkata, wanita seharusnya mengetepikan rasa malu dan takut kehilangan payudara akibat kanser kerana ada rawatan untuk membina semula payudara atau pembedahan rekonstruktif yang lebih terkini.

Katanya, rekonstruktif payudara biasanya dilakukan selepas pembedahan merawat kanser payudara atau membuang ketumbuhan biasa (tumor benigna).

Ia membabitkan pembentukan semula bentuk payudara sama ada menggunakan tisu dari badan pesakit sendiri, implan atau kombinasi kedua-duanya.

“Lebih penting pembedahan ini akan memberikan keseimbangan kepada kedua-dua payudara, memudahkan pemilihan pakaian dan mengelak masalah tulang belakang akibat berat dada yang tidak sama antara kiri dan kanan terutama mereka yang mempunyai payudara bersaiz besar,” katanya.

Merujuk kepada kesan psikologi pula, daripada kajian tempatan dan luar negara, pesakit yang menjalani pembedahan berasa lebih selesa apabila berinteraksi sesama mereka, lebih berkeyakinan, mempunyai semangat dan motivasi yang tinggi berbanding yang tidak ‘membentuk’ semula payudara.

Pembedahan rekonstruktif payudara boleh dibuat pada masa yang sama apabila pesakit menjalani mastektomi yang dikenali sebagai rekonstruktif segera atau serta-merta.

“Jika pada peringkat awal pesakit bersedia menjalani rekonstruktif, hasil yang akan diperoleh lebih cantik dan bentuk payudara seakan-akan sama dengan sebelumnya malah pesakit melalui hanya satu pembedahan.

“Berbeza sekiranya pembedahan rekonstruktif lewat dilakukan apabila wanita perlu menjalani dua pembedahan dan apabila ditanya mereka memberikan maklum balas dan penerimaan yang tinggi terhadap payudara yang dihasilkan,” katanya.

Namun berdasarkan kajian dan pemerhatian, 76 peratus pesakit menyesal lewat menjalani pembedahan kerana mereka akan melalui dua pembedahan dalam tempoh dua tahun ataupun selepas selesai menjalani kemoterapi dan radioterapi.

“Ini kerana dalam masa ini pelbagai perasaan dan emosi yang terpaksa dilalui. Rasa rendah diri menyebabkan ada yang tidak mahu bertemu orang ramai,” katanya.

PERINGKAT REKONSTRUKTIF

Terdapat tiga jenis rawatan pembinaan payudara yang utama iaitu:

1. Rekonstruktif payudara menggunakan tisu pesakit sendiri (autologus).

2. Rekonstruktif payudara menggunakan implan (sintetik) seperti silikon.

3. Rekonstruktif payudara menggunakan gabungan implan dan tisu autologus.

Namun pesakit tidak perlu bimbang kerana tisu autologous berasal daripada tubuh pesakit sendiri. Sebagai contoh, tisu lemak adalah yang terbaik bagi membentuk semula payudara kerana bersifat semula jadi dan kekal.

“Selain itu, risiko penolakan jarang berlaku manakala jangkitan kuman berada pada tahap minimum berbanding implan. Penggunaan tisu autologus akan kurang terjejas apabila pesakit menjalani radioterapi dibandingkan dengan implan,” katanya.

Menerangkan lebih lanjut mengenai rawatan menggunakan tisu pesakit, secara ringkas terdapat dua cara pemindahan iaitu menggunakan kaedah ‘flap’ atau ‘graf’.

“Kaedah flap adalah pemindahan tisu bersama sistem pendarahan tisu yang mengandungi arteri dan vena, manakala graf pula adalah pemindahan tisu tanpa membawa sistem pendarahan bersama tisu terbabit.

“Terdapat beberapa pilihan untuk kaedah ‘flap’. Antara yang popular adalah dengan mengambil kulit, lemak dan otot (Latissimus dorsi) dari bahagian belakang pesakit ,” katanya.

Pembinaan payudara juga boleh dilakukan dengan mengambil kulit, lemak dan otot daripada bahagian bawah abdomen yang dikenali sebagai ‘pedicle flap tram’.

Kaedah terakhir menerusi pengambilan kulit dan lemak (tanpa otot) bersama sistem saluran darah arteri dan vena ini dipisahkan dan perlu disambung semula menggunakan mikroskop.

Kelebihan menggunakan kaedah pembedahan mikro (mikrosurgeri atau dikenali sebagai free flap) adalah dari segi pengaliran darah yang lebih baik berbanding kaedah lain.

Bagaimanapun, kaedah ini memerlukan kepakaran untuk menyambung semula saluran darah yang dipotong daripada bahagian bawah perut dan disambung pada payudara atau dada.

“Selain itu, kaedah ini lebih rumit dan memerlukan pemantauan lebih rapi selepas pembedahan bagi memastikan pengaliran darah tidak tersekat, tersumbat ataupun terjejas,” katanya.

Pembedahan membuat areola dan puting bagi melengkapkan proses rekonstruktif biasanya dibuat pada masa berasingan. Ini bagi memberi masa payudara baharu mendapat kedudukan yang stabil, manakala bahagian puting dapat dibuat pada kedudukan yang sama seperti di payudara normal.

TEMPOH PEMULIHAN

Payudara yang baru dibentuk tidak mempunyai deria rasa seperti kulit biasa. Ini kerana saraf untuk deria rasa, sentuhan dan sakit dibuang ketika mastektomi. Bagi sesetengah pembedahan rekonstruktif, saraf deria rasa mungkin dapat disambung dengan tisu baru menggunakan kaedah mikrosurgeri.

Ini membolehkan pesakit mendapat deria rasa pada isi atau kulit yang digunakan untuk membentuk payudara baru.

Kaedah ini mengambil masa beberapa bulan sebelum deria rasa di payudara baru dapat berfungsi. Namun, prosedur ini jarang dilakukan dalam rekonstruktif payudara.

Bagi pesakit yang sudah dibenarkan pulang ke rumah, mereka perlu menjaga bahagian luka supaya sentiasa kering. Pesakit dibenarkan mandi dan mengalirkan air di bahagian ini.

“Namun jika ada cecair yang keluar daripada mana-mana bahagian luka, kain pembalut boleh digunakan untuk mengalas bahagian ini daripada mengotorkan baju pesakit. Krim luka juga boleh disapukan jika ada luka yang masih basah. Jika pesakit mendapati banyak cecair yang keluar daripada luka, bau busuk atau bernanah, pesakit hendaklah mendapatkan nasihat doktor untuk rawatan selanjutnya,” nasihatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 5:20 AM
PROF Dr Arman Zaharil
PROF Dr Arman Zaharil