RAMAI wanita alami masalah kulit.
RAMAI wanita alami masalah kulit.
Aniza Zainudin


KULIT terlalu tegang dan terasa kering hingga menyebabkan kegatalan antara tanda masalah kulit sensitif.

Organ terbesar itu berfungsi melindungi organ dalaman lain daripada kecederaan akibat proses dehidrasi.

Kulit manusia memiliki keluasan 1.7 meter persegi sekiranya dihamparkan juga membantu menstabilkan suhu badan.

Masalah kulit sensitif bagi segelintir orang berpunca daripada tindak balas alergi terhadap makanan, produk dan aroma wangian hingga menyebabkan kemerahan, kekeringan serta kegatalan.

Pakar dermatologi, Dr Sharon Gopalan berkata, kulit sensitif merengsa dengan mudah kerana ia lebih nipis dan bertekstur halus menyebabkannya mudah terdedah kepada sinaran matahari dan udara tercemar.

“Struktur kulit terbahagi kepada tiga lapisan iaitu epidermis, dermis dan hipodermis.

“Lapisan epidermis paling atas terbentuk daripada keratin yang keras.

“Diikuti lapisan dermis mengandungi saraf dan salur darah, kelenjar minyak serta peluh.

“Lapisan paling dalam, hipodermis terdiri daripada tisu di bawah kulit tisu subkutaneus.

“Secara purata, ketebalan kulit tiga milimeter dan setiap satu sentimeter persegi kulit mengandungi 10 folikel rambut, 100 kelenjar peluh dan lebih 2,500 sel deria.

“Struktur kulit menunjukkan ia mempunyai tahap sensitiviti tersendiri dalam menjalankan fungsinya.

“Justeru, penting untuk kita mengetahui proses penembusan lapisan kulit bagi menilai atau memastikan tahap keselamatan bahan kimia dan formulasi produk kosmetik digunakan bersesuaian dengan kulit kita,” katanya dalam kempen Antabax, ‘Sensitive to your needs’, baru-baru ini.

DR Sharon
DR Sharon

Kata Dr Sharon, sensitif merujuk kepada situasi apabila kulit memberi reaksi kurang bertoleransi atau ‘menolak’ apabila sesuatu produk kosmetik atau barangan penjagaan digunakan secara kerap dan berpanjangan.

Jelasnya, kulit sensitif juga dikaitkan dengan kerengsaan dan tidak stabil yang boleh memberi perubahan kepada kesihatan manusia.

Katanya, perubahan itu termasuk rasa sensitif deria saraf meningkat, tindak balas imun terjejas dan fungsi ‘halangan’ terhadap satu-satu bahan kimia berkurangan.

Masalah kulit sensitif dipengaruhi beberapa faktor seperti sinaran ultra ungu (UV), radiasi fizikal, perubahan cuaca dan suhu, penggunaan bahan kimia tidak bersesuaian (kosmetik dan sabun mandian), pencemaran air, masalah psikologi (tekanan) serta gangguan hormon.

Antara simptom kulit sensitif adalah kulit menjadi kemerah-merahan, rasa mencucuk-cucuk, terlalu tegang hingga terasa gatal, terbakar, kering dan kurang selesa.

“Epidemik ini dikenal pasti oleh Maibach yang menyifatkannya ‘Sindrom Kurang Toleransi Kosmetik’ pada 1987.

“Dilaporkan kulit sensitif terdiri daripada beberapa tahap sensitiviti mengikut simptom dikenal pasti dan berlaku di kawasan muka, bawah lengan, tangan, kemaluan dan kulit kepala.

“Kira-kira 51 hingga 60 peratus masalah kulit sensitif ini berlaku pada wanita.

“Dipercayai penggunaan produk kulit yang mengandungi pelbagai jenis bahan kimia menyebabkan perkara ini,” katanya.

Jelas beliau, kulit sensitif tidak diwarisi seperti masalah dermatologi lain, namun ia boleh menjadi lebih teruk jika individu mengalami masalah kulit lain seperti ekzema, rosacea, dermatitis seborrhoeic, jerawat kronik, psoriasis dan sebagainya.

Ini terbukti apabila kes kulit sensitif dilaporkan lebih tinggi membabitkan mereka yang mempunyai masalah dermatologi lain atau dermatitis atopik berbanding mereka yang tidak mengalami masalah kulit sensitif.

Tip penjagaan kulit sensitif

• Bersihkan wajah sekali sehari, disarankan pada waktu malam menggunakan air sejuk bukannya air panas.

• Gunakan pencuci muka tanpa wangian dan diperbuat daripada ekstrak semula jadi.

• Gunakan produk menyejukkan kulit seperti teh hijau dan aloe vera.

• Gunakan pelembap sebagai pelindung kulit daripada minyak zaitun, kelapa, soya dan mentega shea.

• Gunakan krim pelindung matahari diperbuat daripada bahan mineral seperti zink oksida dan titanium oksida.

• Bilas bersih syampu dan perapi rambut.

• Minum air secukupnya.

• Amalkan pemakanan seimbang.

Tahap kulit sensitif

1. Ringan

Rasa: Pijar, kulit terlalu tegang, kadang-kadang kurang selesa, jarang bertindak balas

Kelihatan: Kadang-kadang kemerahan, iritasi, tompok kering, bercapuk-capuk, ton kulit tidak sekata

2. Sederhana

Rasa: Pijar, kulit terlalu tegang, kurang selesa dan bertindak balas selepas beberapa ketika

Kelihatan: Kulit merah, beriritasi, kering, bercapuk-capuk, ton kulit tidak sekata

3. Teruk

Rasa: Mencucuk-cucuk, terbakar, kulit tegang, gatal dan memberi reaksi cepat (terutama alahan sesuatu)

Kelihatan: Merah, keradangan, mengelupas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 5:30 AM