Hafiz Ithnin

“Kalau akak nak cantik, ambillah pil ini. Dalam tempoh beberapa hari wajah awak pasti tegang, mulus dan tak ubah seperti selebriti terkenal.”

“Eh abang tampan, muka saja tak bawa ke mana kalau badan tak ‘sado’. Ini ada serbuk minuman mudah bina badan. Minum saja, otot awak cepat nampak!”

Mungkin ayat-ayat ‘memancing’ seperti ini daripada jurujual khasiat tambahan sudah biasa kita dengar bagi memujuk mereka yang mendambakan kesempurnaan diri. Apatah lagi, wang untuk membeli sentiasa ada, jadi rasanya tidak salah melabur sedikit untuk mendapatkan khasiat tambahan demi kecantikan diri.

Cadangan atau preskripsi pengambilan daripada doktor? Bukankah di belakang produk makanan tambahan itu sudah terang-terangan memberitahu, bahan digunakan selamat? Lagipun, ia sudah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa. Jadi, kenapa perlu ragu-ragu untuk membeli dan mengambilnya?

Bukankah banyak testimoni yang ditunjukkan daripada penjual juga memuji betapa bagusnya produk berkenaan. Ia menunjukkan sudah ramai yang ambil dan mendakwa, ia berkesan. Kenapa perlu rasa sangsi lagi?

Mungkin situasi sebegini juga pernah bermain di fikiran apabila hati dan minda sudah terpengaruh atau terpedaya untuk membeli pelbagai jenis khasiat tambahan.

Di Malaysia setiap hari, sekurang-kurangnya 10 penduduk didiagnos mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik atau berada pada peringkat lima (teruk) dan memerlukan rawatan dialisis.

Lebih menggerunkan, setiap tahun golongan pekerja iaitu mereka yang berusia antara 20 hingga 50 tahun paling ramai mengalami masalah buah pinggang kronik yang memerlukan rawatan khusus.

Puncanya? Faktor tradisional iaitu diabetes, darah tinggi dan merokok antara yang paling utama menyumbang kepada masalah itu. Namun, perkara paling membimbangkan kini adalah trend pengambilan khasiat tambahan tanpa preskripsi doktor yang boleh mengakibatkan kerosakan organ kumuhan itu.

Menurut Dr Nor Fadhlina Zakaria iaitu pensyarah merangkap Pakar Perunding Nefrologi, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, meskipun faktor pengambilan khasiat tambahan masih kecil dalam menyumbang kepada kegagalan masalah buah pinggang, ia mempunyai potensi besar pada masa depan dan boleh menjadi antara penyumbang utama jika tidak dikawal.

Jelasnya, setakat ini 60 peratus daripada mereka yang mengalami kerosakan buah pinggang kronik disebabkan diabetes. Obesiti, penyakit darah tinggi, merokok dan keturunan adalah faktor lain menyumbang kepada statistik berkenaan.

BUAH pinggang perlu dijaga dengan tidak mengambil bahan yang boleh merosakkannya. FOTO Rosela Ismail
BUAH pinggang perlu dijaga dengan tidak mengambil bahan yang boleh merosakkannya. FOTO Rosela Ismail

“Populariti pelbagai produk khasiat tambahan bagi kecantikan dan kecergasan otot pada hari ini bukan sesuatu yang baharu. Mudah untuk kita dapat di pasaran. Malah, pengguna kita juga sentiasa mengidamkan untuk mendapatkan rupa bentuk yang cantik dengan pantas.

“Pengambilan produk khasiat tambahan sudah semestinya menjadi pilihan kerana ia dikatakan mampu memberi kesan segera walaupun sebenarnya, pengguna sendiri tidak tahu bahan yang digunakan. Mereka tidak tahu sama ada ia sesuai atau tidak untuk badan sendiri,” katanya.

Tambahnya, bahan produk khasiat tambahan yang mengandungi bahan kimia seperti raksa, pengawet, warna dan perisa tiruan adalah antara unsur yang boleh mengakibatkan sistem pada buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Apatah lagi jika diambil dengan banyak, tentu mengenakan tekanan terhadap organ berkenaan untuk bekerja keras sekali gus menggugat kemampuan berfungsi dengan baik yang akhirnya berlaku kerosakan kronik.

“Paling berbahaya ialah khasiat tambahan mengandungi raksa, yang dikatakan mampu memberi kesan yang cepat untuk mencantikkan wajah. Anda boleh bayangkan, bagaimana agaknya logam berat itu masuk ke dalam buah pinggang? Tentu sukar untuk buah pinggang kita bekerja dan akhirnya menyebabkan ia rosak,” katanya.

Buah pinggang adalah antara organ penting manusia kerana ia mempunyai pelbagai fungsi seperti menapis toksik dan bahan kumuh, mengekalkan aras pH iaitu nilai keasidan atau kealkalian tubuh manusia pada tahap neutral antara 7.35 hingga 7.45.

Organ berkenaan yang saiznya sebesar penumbuk setiap individu itu juga berfungsi mengekalkan kandungan air dalam badan dengan menghasilkan urin dan merembes keluar toksik seperti urea dan kreatinin.

DIALISIS antara rawatan yang diberikan kepada pesakit buah pinggang.
DIALISIS antara rawatan yang diberikan kepada pesakit buah pinggang.

Perlu ada preskripsi

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Dr Nor Fadhlina juga berkata, pengambilan sebarang jenis khasiat tambahan sebaiknya mendapat preskripsi daripada doktor untuk memastikan ia sesuai dan diperlukan atau sebaliknya.

“Sebenarnya, jika kita mempunyai amalan gaya hidup sihat dengan pengambilan makanan yang betul dan melakukan aktiviti kecergasan, tidak perlu lagi mengambil khasiat tambahan kerana kedua-dua perkara itu sudah cukup untuk membantu kita mendapatkan bentuk tubuh dan rupa yang menarik.

“Saya juga tidak menolak pengambilan khasiat tambahan tetapi ia perlu mengikut keperluan seperti ibu mengandung atau pesakit yang sememangnya perlu bergantung pada bahan itu untuk mempercepatkan proses penyembuhan daripada satu-satu masalah kesihatan. Bagaimanapun, ia perlu mendapat nasihat doktor,” katanya.

Dalam laporan Dialisis dan Transplan Malaysia 2016, kadar pesakit baharu di negara ini yang menjalani dialisis meningkat dengan mendadak dari 2007 membabitkan 4,104 pesakit dan pada 2016 (tempoh 10 tahun), angka itu melonjak ke 7,663 orang. Ia menunjukkan masalah buah pinggang dalam kalangan rakyat Malaysia jelas serius.

PENGAMBILAN khasiat tambahan tanpa mendapat khidmat nasihat doktor boleh memudaratkan buah pinggang.
PENGAMBILAN khasiat tambahan tanpa mendapat khidmat nasihat doktor boleh memudaratkan buah pinggang.

Malah, Malaysia yang mengungguli carta rakyat paling obes di Asia juga menjadi kebimbangan kerana perkara itu boleh menjadi faktor lebih ramai rakyat negara ini berpotensi mengalami masalah buah pinggang kronik.

Katanya, masalah obesiti juga antara yang merisaukan kerana boleh mengakibatkan seseorang itu lebih mudah mengalami kerosakan buah pinggang kerana kegemukan melampau meningkatkan tekanan darah dan ia memberi beban serta kesan buruk terhadap organ berkenaan.

“Kita sudah mempunyai rekod kesihatan yang buruk sebagai negara paling obes di Asia, dan kita tidak mahu mempunyai rekod kesihatan yang tidak baik membabitkan masalah buah pinggang kronik.

“Faktor yang nampak kecil seperti pengambilan khasiat tambahan yang tidak diketahui ramuannya janganlah dibiarkan menjadi faktor utama kerosakan buah pinggang pada masa depan hanya kerana kita terlalu ingin cantik dengan cepat. Kita perlu sedar, kerosakan buah pinggang tidak mempunyai simptom awal dan oleh itu ia sukar dikesan,” katanya.

Mengulas mengenai simptom individu yang berkemungkinan mengalami buah pinggang, katanya, pada peringkat awal atau peringkat satu, seseorang itu boleh nampak air kencing yang dikeluarkan berbuih, badan mula lemah, sukar tidur dan kerap ke tandas untuk kencing.

“Simptom seperti ini sebenarnya sukar untuk kita tahu disebabkan kegagalan buah pinggang berfungsi dengan baik kerana ia sering dianggap masalah kesihatan yang biasa.

“Disebabkan itu, setiap individu digalakkan menjalani saringan bagi mengetahui sama ada mereka mengalami masalah itu atau tidak, terutama golongan berpotensi tinggi seperti mempunyai masalah obesiti dan diabetes termasuk individu yang gemar mengambil khasiat tambahan tanpa merujuk pada doktor,” katanya.

MAKANAN yang sihat bantu menyihatkan dan memberi kesan baik kepada tubuh manusia.
MAKANAN yang sihat bantu menyihatkan dan memberi kesan baik kepada tubuh manusia.

Info

• Manusia mempunyai sepasang buah pinggang.

• Buah pinggang ada pelbagai fungsi selain menjadi organ kumuh, juga menghasilkan hormon erithropoietin bagi penghasilan darah di sum-sum tulang.

• Pesakit diabetes menyumbang 60 peratus kepada masalah buah pinggang kronik.

• Pengambilan khasiat tambahan dan ubat tahan sakit tanpa preskripsi doktor berpotensi menjadi penyumbang terbaharu kerosakan buah pinggang.

• Ada tiga jenis rawatan;

1. Transplan (pemindahan buah pinggang baharu kepada pesakit).

2. Dialisis yang terbahagi dua iaitu hemodialisis dan peritoneal dialisis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 9:00 AM