PESAKIT CKD perlu jalani rawatan dialisis.
PESAKIT CKD perlu jalani rawatan dialisis.
Muhamaad Razis Ismail


PENYAKIT buah pinggang kronik (CKD) boleh mendatangkan kesan negatif terhadap kehidupan pesakitnya.

Apa tidaknya, selain perlu bergantung kepada mesin dialisis dan pengambilan ubat, aktiviti harian mereka turut terjejas.

Presiden Persatuan Nefrologi Malaysia, Prof Dr Abdul Halim Gafor berkata, penyakit CKD sangat serius di negara ini.

"Tinjauan yang dilakukan pada 2011 menunjukkan 9.1 peratus penduduk Malaysia menghidap CKD.

"Bagaimanapun, pada 2018 menunjukkan peratusan itu bertambah sehingga 15.5 peratus. Lebih membimbangkan majoriti pesakit ini tidak tahu yang mereka menghidap CKD," katanya.

Beliau berkata, kajian menunjukkan rawatan dialisis mempunyai kesan ekonomi yang sangat tinggi.

"Jumlah perbelanjaan penyakit ginjal peringkat akhir (ESRD) pada 2010 adalah 2.95 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan sektor awam dan peratusannya meningkat kepada 4.2 peratus pada 2016.

"Bahagian perbelanjaan ESRD dalam jumlah perbelanjaan kesihatan untuk sektor awam dianggap besar memandangkan hanya sebahagian kecil penduduk yang terjejas berikutan hanya 0.36 peratus penduduk yang terkena penyakit ginjal kronik tahap lima," katanya.

AMALKAN gaya hidup sihat.
AMALKAN gaya hidup sihat.

Sementara itu, Pakar Nefrologi dan Perubatan Dalaman, Dr Rafidah Abdullah berkata, kesedaran masyarakat terhadap penyakit CKD sudah meningkat namun ia boleh diperbaiki lagi.

Katanya, masih terdapat pesakit dan keluarga sering mencari jalan alternatif atau tidak bekerjasama dengan doktor.

"Rawatan dan pengurusan penyakit CKD memerlukan kerjasama yang rapat antara ketiga-tiga kumpulan ini iaitu pesakit, ahli keluarga dan doktor.

"Petugas kesihatan mahu menolong semua pesakit dan kami sangat berharap supaya dapat bekerjasama," katanya.

Naib Presiden MedTweetMy itu berkata, terdapat banyak mitos mengenai penyakit buah pinggang yang masih menghantui masyarakat di negara ini.

"Antaranya, ada yang menyatakan ubat doktor merosakkan buah pinggang dan ini tidak betul sama sekali jika anda dipantau secara berkala.

DR Rafidah
DR Rafidah

"Keduanya, pembelian ubat, produk atau makanan tambahan secara dalam talian boleh merawat buah pinggang yang sebenarnya berkemungkinan memudaratkan lagi kerana menambah bebanan kepada buah pinggang," katanya.

Selain itu, ada yang percaya minum air yang sangat banyak boleh menjaga kesihatan buah pinggang.

"Ya, memang badan perlu kekalkan hidrasi, tetapi bukan dibuat secara keterlaluan.

"Kalau minum terlampau banyak, seseorang boleh menghadapi masalah serius seperti koma atau sawan," katanya.

Sempena Sambutan sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2021, beliau menyeru semua pesakit CKD mendaftar untuk vaksinasi Covid-19 fasa kedua.

 ELAKKAN pengambilan ubat dan makanan tambahan bukan daripada doktor.
ELAKKAN pengambilan ubat dan makanan tambahan bukan daripada doktor.

"Penyakit buah pinggang adalah satu ko-morbiditi dan jika mendapat jangkitan Covid-19, risiko komplikasi sangat tinggi. Lindungi diri, lindungi semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 6:09 AM