DR Musa (dari kiri), Cabannes dan Dr Lee ketika pelancaran vaksin berkenaan.
DR Musa (dari kiri), Cabannes dan Dr Lee ketika pelancaran vaksin berkenaan.
Nurul Husna Mahmud

Golongan dewasa yang tidak mengambil vaksin berkala tidak ubah seperti ‘bom jangka’ yang bergerak sebaik berlakunya penyebaran virus influenza.

Menurut Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara Datuk Dr Musa Mohd Nordin, pengambilan vaksin bukan saja penting pada kanak-kanak malah harus diperluaskan kepada golongan dewasa.

Namun, kesedaran pengambilan vaksin secara berkala dalam kalangan dewasa terlalu rendah waima golongan yang terbabit dalam industri perubatan.

“Kawalan terhadap pencegahan penyakit antara amalan terbaik dan ia perlu bermula dengan pengambilan vaksin setiap tahun agar daya tahan terhadap wabak seperti demam dan selesema dapat ditangani secara baik.

“Sebagai contoh pusat perubatan tempat saya berkhidmat ketika ini mengamalkan vaksin berkala dan ia tidak hanya diwajibkan kepada pengamal perubatan saja, malah pekerja am hospital.

“Selaku pengamal perubatan yang sering mengendalikan pesakit, penting untuk mereka mendapatkan vaksin sebagai perlindungan diri dan orang sekitar yang bersentuhan,” katanya ketika pelancaran vaksin SKYCellflu Quadrivalen oleh AJ Biologics di ibu kota baru-baru ini.

Vaksin diperkenalkan AJ Biologics antara inovasi terkini dalam penghasilan vaksin influenza apabila menggunakan teknologi kultur sel inovatif membantu meningkatkan keberkesanan vaksin.

Tidak perlu bimbang dengan status halal dalam penghasilan vaksin terbabit kerana produk akhir kaedah pengkulturan sel itu bebas komponen yang dihasilkan daripada haiwan.

“Teknologi kultur sel bukan sesuatu yang baru dalam dunia perubatan dan terbukti berkesan melalui vaksin. Walaupun diperbuat daripada sel haiwan, produk akhir adalah bebas daripada komponen yang dihasilkan haiwan.

“Berdasarkan laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), vaksin influenza menggunakan kaedah ini lebih berkesan kerana karakter virus jauh lebih mirip dengan virus influenza yang sedang tersebar.

“Lebih baik lagi pada mereka yang mempunyai alahan tidak perlu bimbang kerana virus ini tidak dihasilkan daripada telur. Ia lebih selamat dan lebih banyak dapat dihasilkan untuk keperluan pengguna,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi, AJ Biologics Sdn Bhd Jerome Cabannes berkata, vaksin itu disyorkan untuk pengimunan aktif dewasa dan kanak-kanak berusia lebih tiga tahun.

“Berbeza dengan vaksin dihasilkan menggunakan kaedah konvensional yang menyuntik virus terus ke dalam telur, SKYCellflu Quadrivalent dihasilkan menggunakan sejenis inkubator steril ini tidak memerlukan antibiotik atau pengawet.

“Vaksin ini sesuai untuk mereka yang alah pada telur atau sensitif kepada antibiotik. Di samping itu, tindakan pantas boleh diambil semasa wabak terhadap jenis influenza baharu atau yang telah bermutasi, kerana vaksin ini boleh dihasilkan dalam masa tiga bulan, berbanding enam bulan atau lebih bagi kaedah lazim,” katanya.

ORANG dewasa juga perlu imunisasi berkala.
ORANG dewasa juga perlu imunisasi berkala.

Sementara itu Ketua Pakar Perunding Unit Penyakit Berjangkit dan Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr Christopher Lee menyifatkan penghasilan vaksin dengan kaedah berkenaan menjamin bekalan vaksin yang berterusan bagi keperluan terutama ketika memerangi wabak.

“Virus influenza sentiasa berubah, menyebabkan lebih banyak kes berlaku setiap tahun. Untuk menangani perkara ini, formulasi vaksin influenza perlu dikaji semula setiap tahun dan dikemas kini sekiranya perlu untuk mengikuti perkembangan evolusi virus influenza. Untuk perlindungan terbaik, individu yang berusia enam bulan dan ke atas hendaklah divaksinkan setiap tahun.

“Walaupun vaksin berasaskan telur yang sedia ada adalah efektif dan selamat, terdapat keperluan bertambah bagi meningkatkan keberkesanannya.

“Jelas bahawa vaksin ini mungkin kurang optimum, terutamanya dalam kalangan dewasa lebih tua, oleh kerana daya tahan mereka yang lebih rendah dan perubahan antigenik.

“Justeru, terdapat keperluan bagi vaksin influenza bermusim yang jauh lebih baik untuk merapatkan jurang dalam keperluan kesihatan umum,” katanya.

Kes influenza yang paling kerap disahkan di Malaysia adalah berkaitan dengan influenza A, di mana 22.3 peratus berpunca daripada H1N1 dan 14.7 peratus disebabkan H3N2. Virus influenza A dan B bertanggungjawab terhadap wabak influenza bermusim setiap tahun. Antara strain virus influenza yang kini menjangkiti badan manusia termasuk A/H1N1, A/H3N2, B/Yamagata dan B/Victoria.

Antara kebaikan vaksin terbabit ialah:

• Sesuai digunakan untuk pengimuman aktif bagi dewasa dan kanak-kanak berusia lebih tiga tahun.

• Mencegah penyakit influenza yang berpunca daripada subjenis virus A dan B.

• Sesuai kepada mereka yang alergi telur dan antibiotik.

• Bebas daripada komponen yang dihasilkan haiwan.

• Boleh diambil oleh ibu hamil dan menyusu serta warga emas.

• Memberikan tahap perlindungan lebih tinggi.

• Penghasilan vaksin yang lebih tulen.

• Tiada risiko alahan telur.

• Dibuat tanpa pengawet dan antibiotik.

• Pengeluaran vaksin yang boleh ditambah dengan pantas sekiranya berlaku wabak (tiga bulan berbanding kaedah konvensional memerlukan tempoh enam bulan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Disember 2018 @ 1:00 AM