KANAK-kanak dan bayi lebih berisiko.
KANAK-kanak dan bayi lebih berisiko.
Nurul Husna Mahmud


Wabak batuk kokol pernah merekodkan kematian sehingga 10,000 orang di Amerika Syarikat sebelum vaksin ditemui pada 1980.

Malah penyakit yang berpunca daripada wabak pertussis itu berpotensi merebak melalui udara (daripada batuk dan bersin) atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata.

Ia menjadi wabak yang boleh mengancam terutama dalam kalangan kanak-kanak sehingga boleh menjadi penyebab kematian.

Program imunisasi berskala besar mewajibkan kanak-kanak pengambilan vaksin mencatatkan penurunan kes sehingga 90 peratus.

Namun baru-baru ini, Jabatan Kesihatan Negeri Pahang memaklumkan berlakunya wabak pertussis atau batuk kokol di daerah Rompin dan langkah berjaga-jaga diambil bagi mengelak penyakit terbabit merebak.

Pensyarah Jabatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, mereka yang dijangkiti biasanya mengalami batuk teruk berterusan sehingga mengganggu pernafasan.

"Jangkitan pertussis adalah jangkitan sistem pernafasan oleh toksin yang dihasilkan bakteria Bordetella pertussis. Ia merebak menerusi udara (daripada batuk dan bersin) atau kontak langsung cecair nasal (hingus), air liur atau air mata.

"Toksin bawaan bakteria itu boleh merosakkan sel silia (struktur sel seperti rambut) pada paru-paru, mengakibatkan radang kemudiannya menyebabkan rembesan atau bendalir (kahak) gagal dikeluarkan.

"Susulan itu, seseorang individu yang dijangkiti mengalami batuk teruk kerana sistem tubuh berusaha mengeluarkan bendalir atau kahak berkenaan.

"Batuk teruk berterusan menyebabkan gangguan apabila saluran pernafasan membengkak sehingga menyukarkan pesakit bernafas dan boleh mengundang maut," katanya.

Kata pakar itu lagi, semua peringkat berisiko dijangkiti batuk kokol dan kanak-kanak serta bayi berusia kurang setahun mengalami kesan lebih serius.

"Dalam kumpulan lebih dewasa, gejala adalah ringan dan tidak begitu ketara sehinggakan ramai dalam kalangan pesakit tidak menyedari mereka dijangkiti.

"Mereka yang pernah dijangkiti atau menerima vaksin, tempoh perlindungan bertahan selama empat hingga 20 tahun.

"Kesimpulannya sebahagian daripada individu dewasa berkenaan yang mengalami penurunan antibodi turut berpotensi menjadi punca jangkitan yang berlaku kepada kanak-kanak yang rentan," katanya.

Saranan pakar itu, golongan dewasa perlu lebih peka dengan risiko selain menjalani saringan jangkitan batuk kokol kerana penyakit terbabit tidak berlaku serta-merta.

"Gejala penyakit kokol kebiasaannya berlaku sekitar satu atau dua minggu selepas individu itu terdedah kepada punca jangkitan.

"Pada peringkat awal gejala penyakit terbabit mirip seperti demam selesema. Namun perbezaan dapat dikesan sebaik gejala lebih serius seperti masalah sukar bernafas membabitkan bayi dan kanak-kanak kurang lima tahun berlaku.

"Tanpa rawatan awal, gejala berlarutan sebagai batuk berterusan dalam sela episod yang pantas, teruk serta sukar diberhentikan. Dalam istilah perubatan ia dipanggil 'paroxysmal coughs', yang pada hujung episod batuk kedengaran bunyi 'whoop.'

"Ia diikuti kegagalan individu untuk menarik nafas seperti biasa, mengalami muntah teruk dan akhirnya terhenti seketika untuk bernafas (Apnea).

"Perubahan dalam kalangan bayi yang berusia kurang setahun pula, gejala mereka lebih menjurus manifestasi sukar bernafas, kulit berubah menjadi biru (akibat kurang oksigen) dan tidak bermaya," katanya.

Rawatan segera ke hospital membolehkan pertussis dirawat menggunakan antibiotik serta rawatan sokongan yang lain.

Keberkesanan antibiotik dibatasi sejauh mana segera tempoh pesakit mendapat rawatan. Ini kerana meskipun bakteria berkenaan berjaya ditangani menerusi pengambilan antibiotik, namun kesan toksin bakteria yang merosakkan sel sistem pernafasan menyebabkan gejala teruk akan berterusan berlaku.

Justeru pemberian vaksin berjadual seperti vaksin pertussis seawal bayi 2 bulan dalam Program Imunisasi Kebangsaan berserta vaksin untuk lima penyakit yang lain iaitu tuberkulosis, difteria, tetanus, Hib (Haemophilus influenza b) dan hepatitis B boleh mencegah jangkitan batuk kokol.

Penurunan antibodi dalam kalangan dewasa dan ketiadaan perlindungan vaksin bagi kanak-kanak adalah dua faktor utama penyebab pertussis merebak dalam komuniti.

Pencegahan dan kawalan dalam situasi wabak seperti disyorkan pihak berkaitan perlu diambil berat semua individu dalam masyarakat.

Langkah isolasi kes yang disahkan, pemisahan dengan kanak-kanak yang masih sihat dan kanak-kanak berusia kurang tujuh tahun yang belum lengkap divaksin perlu dipatuhi.

Tempoh isolasi dan kuarantin ini bergantung kepada status pemberian antibiotik yang mana ia mengambil tempoh maksima sehingga 21 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2023 @ 7:00 AM