(DARI kiri) Pengurus Besar Nutrisi Abbott Malaysia, Robert Cleveland, Dr Low, Pengarah Perubatan Nutrisi Abbott, Dr Nina Mazera Mohd Said dan Pengarah Pemasaran Nutrisi Abbott, Richard Schneider di majlis pelancaran susu formula baru untuk otot.
(DARI kiri) Pengurus Besar Nutrisi Abbott Malaysia, Robert Cleveland, Dr Low, Pengarah Perubatan Nutrisi Abbott, Dr Nina Mazera Mohd Said dan Pengarah Pemasaran Nutrisi Abbott, Richard Schneider di majlis pelancaran susu formula baru untuk otot.
Zaitie Satibi


Dalam jasmani orang muda yang sihat, 30 peratus berat badannya terdiri daripada otot, 20 peratus tisu adipos, manakala 10 peratus lagi adalah tulang. Pada usia 75 tahun, jumlah jisim otot menyusut sehingga 15 peratus, manakala lemak badan meningkat dua kali ganda sehingga 40 peratus dan lapan peratus adalah tulang.

Penyusutan ini berikutan lepas usia 30 tahun, jumlah dan saiz serat otot berkurangan secara perlahan dan menyebabkan penurunan dalam otot rangka dan jisim badan. Proses ini dinamakan sarkopenia dan dipercepatkan sekiranya seseorang mengamalkan cara hidup yang tidak aktif. Sedangkan kekuatan otot boleh dipelihara dan ditingkatkan walaupun pada usia lanjut melalui senaman berkala.

Namun begitu, ada beberapa perkara yang mempengaruhi pembentukan sarkopenia seperti penurunan bilangan sel saraf, kekurangan hormon tumbesaran, keupayaan tubuh untuk mensintesis protein menyusut dan kekurangan pengambilan protein atau kalori untuk mengekalkan jisim otot.

Otot adalah tisu badan yang lazimnya berfungsi sebagai sumber kuasa dan penting dalam mengekalkan kekuatan serta keupayaan untuk melakukan aktiviti harian. Ada tiga jenis otot iaitu otot rangka yang bertanggungjawab menggerakkan kaki dan bahagian luar badan, otot kardiak pada jantung dan otot licin dalam dinding arteri dan usus.

Kehilangan jisim otot adalah proses normal akibat penuaan. Walaupun kehilangan jisim otot akibat peningkatan usia adalah tipikal, kehilangan jisim otot dengan cepat (atrofi) disertai dengan beberapa simptom boleh menjadi petanda bagi masalah kesihatan yang serius.

Perunding Perubatan Geriatrik Universiti Malaya, Profesor Dr Tan Maw Pin berkata, kebanyakan orang tidak sedar bahawa bermula pada usia 40-an, otot mereka boleh mengalami penyusutan sehingga lapan peratus setiap dekad dan selepas usia 70 tahun kadar ini hampir berganda 15 peratus.

“Penyakit dan kurang melakukan aktiviti boleh mempercepatkan penyusutan otot. Kajian mendapati kemasukan selama 10 hari ke unit rawatan rapi (ICU) boleh menyebabkan penyusutan otot sehingga 17 peratus bagi pesakit kritikal.

“Tambah lagi, penyusutan otot juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kerumitan seperti jangkitan dan penyembuhan luka yang lebih lambat. Ini boleh memanjangkan tempoh pemulihan seseorang dan menjejaskan kualiti hidup mereka.

“Otot yang sihat penting untuk mengekalkan kekuatan dan keupayaan melakukan aktiviti harian yang menjadikan hidup lebih bermakna dan memuaskan,” katanya pada sesi bicara kesihatan otot sempena pelancaran susu formula Ensure Gold baru daripada Abbott dengan ramuan nutrisi HMB untuk membantu mengembalikan kekuatan otot, baru-baru ini.

Dr Tan berkata, rakyat Malaysia pada umumnya mengamalkan gaya hidup yang sedentari, lebih-lebih lagi lepas mereka mencapai usia persaraan dan menjadi kurang aktif.

Memandangkan otot memainkan peranan yang penting dalam badan kita, langkah menjaga kesihatan otot amat penting untuk hidup lebih sihat dan kekal aktif. Walaupun penyusutan otot berlaku secara semula jadi, dengan gabungan pemakanan sihat dan senaman yang sewajarnya kesannya boleh dilengahkan.

“Golongan dewasa di Malaysia terutamanya yang berusia lebih 40 tahun seharusnya menitikberatkan kesihatan otot dan mengambil tindakan untuk menjaga kekuatan otot mereka. Otot yang lebih kuat dan sihat akan menjadikan mereka bertenaga.

“Ini kerana, rata-rata rakyat negara ini meniti usia yang lebih lama menyebabkan Malaysia berdepan semakin ramai penduduk lanjut usia menjelang 2035 dengan kira-kira 15 peratus populasi penduduknya akan berusia lebih 60 tahun,” katanya.

Malangnya, kesihatan otot sering diabaikan golongan warga tua dan dianggarkan seorang daripada lima warga tua atau 19.1 peratus penduduk berusia lebih 60 tahun pernah terjatuh sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

“Ramai yang menganggap otot lemah adalah perkara biasa bagi warga tua. Oleh itu, kebanyakan golongan ini disebabkan mereka tidak mengekalkan kekuatan otot, jisim otot menyusut dengan cepat dan biasanya apabila menghampiri usia persaraan.

“Pada ketika ini ramai yang memerlukan penjagaan khusus disebabkan tidak lagi mampu berdikari dan berkemungkinan menghadapi ketidakupayaan. Lebih malang, apabila warga tua jatuh sakit berikutan jisim otot mula menyusut disebabkan kekuatan otot yang sangat rendah.

“Jatuh pula adalah kebimbangan utama dalam kalangan warga tua kerana ia boleh menyebabkan hilang upaya dan mengundang maut. Oleh itu, golongan ini wajar melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi meningkatkan keseimbangan, di samping mencegah jatuh,” katanya.

Bagi golongan tua, usaha mengekalkan kesihatan dan kekuatan otot menerusi nutrisi yang baik menjadi kunci kepada gaya hidup yang sihat. Badan memerlukan nutrien penting dalam proses penuaan bagi menyokong kekuatan otot dan keseluruhan kesihatan.

Otot orang berusia lebih 50 tahun tidak bertindak dengan cekap terhadap pengambilan protein daripada makanan seperti ketika muda. Oleh itu, adalah penting untuk mengambil pelbagai jenis makanan untuk khasiat berlainan terutama ketika sakit atau dalam proses sembuh daripada penyakit.

Sementara itu, Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Nutrisi Abbott Asia Pasifik, Dr Low Yen Ling berkata, walaupun penuaan adalah proses semula jadi penyusutan otot boleh diperlahankan dengan memberikan khasiat yang secukupnya terutama protein dan vitamin D kepada otot ketika meningkat usia.

“Bagaimanapun, hakikatnya adalah kebanyakan orang dewasa tidak menerima nutrien harian disyorkan, yang perlu untuk gaya hidup sihat dan aktif. Ini mungkin memberi kesan kepada kekuatan dan tenaga ataupun pemulihan mereka jika mengalami penyakit atau kecederaan.

“Sebab itu, kami memberi tumpuan merintis kajian saintifik terhadap ramuan HMB selama lebih 15 tahun.

“HMB adalah metabolit bagi asid amino penting leusina yang didapati membantu badan kita memulihkan kekuatan. Susu formula ini dirumuskan secara saintifik dengan HMB di Asia sebagai nutrisi tambahan yang lengkap dan seimbang untuk meningkatkan kekuatan seawal lapan minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:45 AM