CABARAN #Stand4Strength dan Kalkulator Usia Otot memberi peluang untuk mengenal pasti usia otot. - FOTO Google
CABARAN #Stand4Strength dan Kalkulator Usia Otot memberi peluang untuk mengenal pasti usia otot. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Ada lebih 600 otot pada badan manusia, namun peranannya kepada keseluruhan kesihatan sering dipandang mudah.

Ini kerana sebahagian besar fungsinya tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Walaupun ada segelintir yang mengambil berat perkara itu, sukar untuk mengekalkan rutin senaman dan diet harian kerana kesibukan kerja serta menguruskan keluarga.

Peningkatan usia mungkin membuatkan ramai berasa kurang sihat kerana kehilangan jisim dan kekuatan otot boleh menjadi salah satu penyebabnya.

Peneraju penjagaan kesihatan global, Abbott yang mengeluarkan jenama Ensure® Gold™ menyarankan golongan dewasa Malaysia untuk menyertai cabaran #Stand4Strength.

Ia satu inisiatif memupuk kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kesihatan otot dan langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan kekuatan serta kesihatan secara menyeluruh apabila usia bertambah.

Sebagai sebahagian daripada cabaran #Stand4Strength, Abbott Ensure® Gold™ melancarkan Kalkulator Usia Otot (Muscle Age Calculator).

Ia satu aplikasi mudah untuk mengukur usia otot yang menunjukkan tahap kekuatan dan prestasi otot di bahagian anggota bawah badan, menerusi ujian senaman duduk serta berdiri sebanyak lima kali. Pengarah Perubatan Perniagaan Pemakanan Abbott di Malaysia, Dr Nina Mazera Mohd Said berkata, selepas usia 40 tahun, tubuh mula mengalami kehilangan jisim otot sehingga lapan peratus pada setiap 10 tahun.

Menurut Dr Nina Mazera, kadar kehilangan jisim otot meningkat hampir dua kali ganda iaitu sehingga 15 peratus pada usia melebihi 70 tahun.

"Berdasarkan 'The Asian Working Group for Sarcopenia', warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang mengambil masa melebihi 12 saat untuk melakukan senaman duduk dan berdiri, berkemungkinan terkesan dengan masalah sarkopenia (kehilangan otot disebabkan penuaan).

"Bagaimanapun, senaman juga penting bagi individu berusia 65 tahun dan ke bawah untuk memastikan kekuatan otot di bahagian anggota bawah badan kekal.

"Ini kerana, usia biologi seseorang tidak semestinya sama dengan usia otot," katanya.

Menurut Dr Nina Mazera, sebagai contoh, keputusan ujian senaman duduk dan berdiri bagi individu berusia 40 tahun berkemungkinan menunjukkan otot mereka seperti usia 50-an sekiranya mengambil tempoh lebih lama daripada purata masa bagi melengkapkan senaman berkenaan.

"Jisim otot yang lebih rendah sering dikaitkan dengan banyak kesan buruk kepada kesihatan.

"Ini termasuk peningkatan risiko jatuh sakit, berasa lemah, mudah mengalami kecederaan, pergerakan fizikal merosot dan kehilangan keupayaan berdikari.

"Kajian turut menunjukkan tahap imun boleh terjejas sekiranya warga emas kehilangan lebih daripada 10 peratus jisim tanpa lemak," katanya.

Dr Nina Mazera berkata, cabaran #Stand4Strength dan Kalkulator Usia Otot memberi peluang kepada warga Malaysia untuk mengenal pasti usia otot mereka.

"Selain itu, mereka boleh mempelajari lebih banyak mengenai masalah kehilangan jisim otot dan bagaimana ia mempengaruhi kesihatan supaya langkah pencegahan boleh diambil secara proaktif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Julai 2021 @ 6:40 AM