KESAN hukah lebih kurang sama berbanding rokok.
KESAN hukah lebih kurang sama berbanding rokok.
Nurul Husna Mahmud

Kos perubatan bagi seorang pesakit yang menghidap penyakit berpunca pendedahan kepada asap rokok dalam setahun adalah tidak kurang RM20 ribu bagi penyakit seperti kanser paru-paru, paru-paru kronik dan jantung koronari. Perbandingan itu lebih buruk apabila kerajaan membelanjakan kira-kira RM3 bilion lagi bagi merawat penyakit berkenaan.

Bersesuaian dengan kedatangan Ramadan ini, Kementerian Kesihatan menganjurkan kempen Sambutan Nafas Baru Peringkat Kebangsaan di Dewan Terbuka Masjid Amru Ibni Al’As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini dalam usaha mempertingkatkan kesedaran dalam kalangan perokok tegar.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, Dr Nurhayati Mohd Marzuki, selaku anggota panel program berkenaan berkata, Program Klinik Berhenti Merokok di hospital kerajaan adalah inisiatif Kementerian Kesihatan dalam usaha menyediakan rawatan berkesan dalam membantu perokok menangani ketagihan mereka.

“Klinik Berhenti Merokok ini tidak saja menyediakan rawatan dari segi ubat-ubatan dalam menangani masalah ketagihan nikotin atau tar akibat rokok, malah ia membantu beri sokongan seperti aspek psikologi untuk menangani masalah berkenaan.

“Pada tahun lalu saja seramai 5,093 perokok berdaftar dengan program berkenaan dan seramai 1,546 berikrar untuk berhenti. Daripada jumlah itu, 658 berjaya memenuhi hasrat mereka untuk memasuki fasa baru kehidupan yang bebas asap rokok. Justeru, lebih efektif buat perokok yang ingin berhenti merokok untuk mengambil kesempatan Ramadan ini bagi mengubah tabiat mereka.

“Malah berdasarkan kajian yang pernah dijalankan, 95 peratus perokok beragama Islam didapati mengakui mereka lebih mudah berhenti ketika Ramadan. Tempoh 14 jam menjalani puasa membantu bentuk disiplin bagi perokok dengan menghindari mereka daripada pengambilan rokok,” katanya.

Tambah Dr Nurhayati, bukan saja kesihatan perokok terjejas akibat asap sebaliknya ahli keluarga juga terdedah kepada ancaman kesihatan.

DR Nurhayati (tengah) ketika  kempen Nafas Baru.
DR Nurhayati (tengah) ketika kempen Nafas Baru.

“Perokok perlu fikirkan risiko yang mereka beri kepada keluarga terutama gejala asap rokok basi (perokok sekuder). Kesan asap basi berlegar dalam ruangan di mana ia dihasilkan, walaupun beberapa lama selepas rokok dihisap ia tetap meninggalkan bahan toksik berupa gas dan partikel yang melekat pada tubuh, baju dan rambut perokok berpindah ke peralatan, perabot, kusyen serta lantai dan karpet yang diguna seisi keluarga.

“Selain itu sisa asap basi (SAB) pula merujuk pada logam berat, karsinogen atau bahan penyebab kanser dan juga bahan radioaktif terdedah kepada objek sekitar rumah yang akhirnya terkena pada ahli keluarga.

“Memikirkan aspek ini, perokok boleh mendorong diri sendiri untuk berhenti dalam membantu selamatkan ahli keluarga mereka. Kesan langsung pada perokok sendiri ialah terjejasnya kualiti kesihatan dan kebersihan.

“Merokok juga mengurangkan selera makan. Kepanasan akibat asap rokok boleh menjejaskan deria rasa dan tidak hairanlah ada segelintir wanita merokok kerana hendak kurus. Biarpun mereka dapat berat diinginkan tetapi organ lain seperti paru-paru, jantung dan saraf rosak akibat merokok. Malah kajian mendapati 90 peratus penyakit kanser paru-paru berpunca daripada tabiat merokok.

“Lebih awal mereka berhenti lagi baik kesannya kepada kesihatan. Pada tahun kelima berhenti merokok, risiko penyakit jantung turun sekitar 30 sehingga 50 peratus, begitu juga andainya mereka berhenti rokok 20 tahun berikutnya paru-paru juga akan 50 peratus lebih sihat berbanding mereka yang terus merokok,” katanya.

PROGRAM klinik berhenti merokok bantu perokok tegar.
PROGRAM klinik berhenti merokok bantu perokok tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 8:49 AM