Asrizal Aris


 

"MEMANG betul paru-paru perokok akan hitam seperti itu. Tetapi paru-paru orang tidak merokok juga boleh jadi hitam,” kata Pakar Runding Kanan Patalogi Forensik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Shahrom Abd Wahid berhubung video paru-paru hitam seorang perokok yang tular di laman sosial.

Video yang tular sejak Ahad itu menerima lebih 100,000 tontonan serta menerima pelbagai reaksi netizen sehingga ada yang mengatakan paru-paru berkenaan sengaja direka menjadi hitam untuk mengajak masyarakat berhenti merokok.

Shahrom berkata, kira-kira 90 peratus dalam kalangan perokok tegar akan mempunyai paru-paru hitam seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan.

Katanya, terdapat juga faktor lain yang boleh menyebabkan paru-paru orang tidak merokok boleh menjadi hitam.

"Bagi mereka yang merokok, tahap kehitaman paru-paru mereka bergantung kepada berapa banyak rokok yang dihisap dalam sehari dan sudah berapa tahun mereka menghisap rokok.

"Mereka yang merokok sudah melebihi 20 tahun, bukan di luar paru-paru sahaja menjadi kehitaman malah dalam paru-paru juga turut terjejas kerana karbon monoksida yang terhasil turut memasuki dalam darah.

"Namun harus diingat, tidak semestinya orang tidak merokok paru-parunya bersih, manusia yang menyedut udara mengandungi karbon turut menyebabkan paru-paru mereka hitam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, udara yang bercampur dengan asap kenderaan, asap kilang, asap kebakaran termasuk asap rokok menghasilkan karbon dalam oksigen yang akan disedut oleh manusia sekali gus mempengaruhi warna paru-paru mereka.

"Apa saja yang disedut melalui hidung ke paru-paru, akan mempengaruhi warna paru-paru itu. Penduduk bandar khasnya, terdedah dengan udara yang mengandungi karbon, menyebabkan paru-paru mereka turut menjadi sedikit hitam.

"Sekarang, susah nak lihat paru-paru manusia yang betul berwarna merah jambu. Paling tidak pun, akan ada sedikit bintik-bintik hitam pada paru-paru mereka yang tidak merokok," katanya yang lebih 30 tahun dalam bidang patologi dan forensik.

Menurut Shahrom, berdasarkan pengalamannya dalam proses bedah siasat, sukar untuk melihat paru-paru mayat yang tidak hitam kerana ia dipengaruhi oleh udara persekitaran yang tidak bersih. 

"Untuk lihat perbezaan diagnosisnya, adalah selepas melihat melalui mikroskop. Kita akan tahu apa punca yang menyebabkan kehitaman pada paru-paru itu.

"Tapi kalau hitam seperti dalam video yang tular, sudah tentu ia berpunca daripada rokok kerana hitam yang likat (pekat) itu adalah hasil karbon dan campuran nikotin daripada tar rokok," katanya.

Difahamkan, video yang tular adalah eksperimen yang dilakukan oleh pihak klinikal sebuah hospital di luar negara mengenai kesan paru-paru terhadap perokok.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 9:15 PM
Petikan video paru-paru perokok yang tular di laman sosial. Prof Dr Shahrom Abd Wahid (gambar kecil). FOTO ihsan Daily Medical dan Arkib NSTP
Petikan video paru-paru perokok yang tular di laman sosial. Prof Dr Shahrom Abd Wahid (gambar kecil). FOTO ihsan Daily Medical dan Arkib NSTP