AGENDA pendidikan manusiawi dapat memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan dalam mencapai akses kepada pendidikan berkualiti.
AGENDA pendidikan manusiawi dapat memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan dalam mencapai akses kepada pendidikan berkualiti.
Oleh Suliati Asri

Peruntukan sebanyak RM58.7 bilion kepada sektor pendidikan dalam pembentangan Belanjawan 2024, bukan hanya dapat digunakan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti untuk anak-anak di seluruh negara tetapi mampu memartabatkan dan membangunkan agenda Pendidikan Manusiawi.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata ia adalah konsep yang terkandung dalam apa yang dilakukan untuk sistem pendidikan yang memupuk kanak-kanak dan belia menyesuaikan diri dengan baik, bermoral dan menjadi penyumbang kepada pertumbuhan negara.

Katanya, agenda pendidikan manusiawi ini juga bagi memastikan tiada kanak-kanak ketinggalan dalam mencapai akses kepada pendidikan berkualiti.

"Amalan pendidikan manusiawi adalah sejajar dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 (PPPM) di bawah Aspirasi Murid dan Aspirasi Sistem iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan dan Kecekapan.

"Selain itu, bersandarkan kepada pembangunan dan kemajuan sesebuah negara juga ditentukan oleh rakyatnya, sistem pendidikan yang menekankan kemanusiaan selaras dengan kehebatan akademik dapat membantu membentuk generasi pembangun negara," katanya.

KPM memaklumkan, pendidikan manusiawi ini sebenarnya sudah diamal dan diterapkan dalam KPM selaras dengan PPPM.

Katanya, bagi memantapkan lagi konsep itu, inisiatif KPM adalah dengan meningkatkan akses dan kualiti pendidikan untuk murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).

"Antara contoh program atau projek yang berjaya dilaksanakan adalah Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari 4 (SDG 4) bertujuan memastikan pendidikan inklusif berkualiti dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

"Matlamat program ini bagi memastikan semua murid menamatkan persekolahan rendah dan menengah menjelang 2030.

"SBJK juga adalah sekolah khas yang ditubuhkan untuk memenuhi aspirasi sistem dan aspirasi murid selaras konsep yang dibangunkan UNESCO, iaitu pendidikan untuk semua (EFA)," katanya.

KPM bakal tingkat akses dan kualiti pendidikan untuk pelajar keperluan khas.

Kanak-kanak SBJK dan Program SBJK adalah kanak-kanak warganegara Malaysia atau anak kepada salah seorang ibu bapa berstatus warganegara Malaysia dalam kelompok yang tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar; tanpa dokumen pengenalan diri iaitu sijil kelahiran atau kad pengenalan; kanak-kanak jalanan dan terpinggir dan yatim piatu yang tinggal di pusat kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat .

Mula beroperasi pada 19 Ogos 2013 di Chow Kit, SBJK adalah salah satu usaha untuk menyediakan akses kepada pendidikan formal dalam persekitaran yang kondusif untuk kanak-kanak jalanan dan terpinggir di bandar.

Pemilihan murid SBJK Chow Kit Kuala Lumpur adalah berfokuskan kepada kanak-kanak warganegara jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur.

Manakala murid Program SBJK Kota Kinabalu Sabah pula terdiri daripada kanak-kanak yang tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar untuk mendapatkan pendidikan.

Seterusnya ialah Sekolah Dalam Hospital (SDH) yang bermatlamat menyediakan pusat pembelajaran kondusif bagi murid yang menerima rawatan di hospital.

Objektif program ini adalah menyediakan perkhidmatan pendidikan kepada murid yang mempunyai masalah kesihatan serta menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan berstruktur dalam persekitaran yang kondusif.

Selain itu, objektif SDH ini juga adalah bagi merangsang murid terus belajar dan menggalakkan pertumbuhan psikososial yang normal serta membantu dalam proses penyembuhan.

Terdapat 17 SDH di 11 negeri yang beroperasi sehingga 2023 iaitu di Hospital Serdang (2011) dan Hospital Selayang (2013) di Selangor, Hospital Tunku Azizah (2011), Hospital Ampang (2011), Hospital Pakar Kanak-Kanak (2012) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (2013) di Kuala Lumpur, Hospital Sultanah Aminah (2012) dan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (2013), Johor.

Ia turut disediakan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang (2012), Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan (2012), Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan (2014), Hospital Umum Sarawak, Sarawak (2014), Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (2014) dan Hospital Tawau (2015), Sabah, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu (2015), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah (2023) dan terbaru adalah SDH Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis (2023).

"Pembelajaran dalam program SDH adalah menyeronokkan dan fleksibel dalam persekitaran yang kondusif .

"Pendekatan ini secara tidak langsung adalah salah satu terapi yang dapat membantu proses penyembuhan kepada masalah kesihatan yang dialami murid," katanya.

Mengulas adakah terdapat rancangan untuk meningkatkan dan memperluaskan pelaksanaan konsep 'Pendidikan Manusiawi dalam sistem pendidikan', KPM sedang bersedia mewujudkan pelan transformasi strategik baharu untuk diteruskan selepas PPPM berakhir dan sejajar dengan kurikulum baharu yang dirancang.

"Pelan baharu ini akan merangkumi konsep MADANI dan dengan SDG 4 ia akan menjadi sebahagian daripada konstruk.

"Secara tidak langsung ia dapat memupuk murid yang bermoral dan berdaya saing di peringkat global," katanya.

Karakter dan nilai adalah komponen penting kerangka pendidikan Malaysia.

Negara amat menitikberatkan penerapan nilai-nilai etika dan moral dalam diri murid bagi membentuk individu yang berakhlak mulia yang bukan saja cemerlang dalam bidang akademik malah turut menyumbang secara positif kepada masyarakat.

"Pendekatan yang diambil ini bertujuan mewujudkan individu yang serba lengkap bukan sahaja kompeten dari segi akademik tetapi juga warganegara yang bertanggungjawab dari segi moral dan etika," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 1:08 PM