Antara peniaga yang berjaya mengusahakan perniagaan Mamasab
Antara peniaga yang berjaya mengusahakan perniagaan Mamasab

Kuala Lumpur: Hanya dengan menjual kek, siapa sangka wanita ini mampu mencipta fenomena dan bergelar jutawan.

Siti Noor Sabrina Soobri atau Sabrina asalnya bekerja sebagai juru x-ray selama sedekad di sebuah kolej perubatan sebelum terlintas memulakan perniagaan sendiri.

Minat menyediakan pastri antara titik tolak awal kepada tercetusnya perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd.

Bermula dengan berniaga di rumah secara kecil-kecilan di Taman Medan, Petaling Jaya (PJ), jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.

Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151 ribu ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpangkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.

"Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan combo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.

"Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.

"Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar," katanya yang ditemui di majlis Mamasab Grand Award 2021 bagi meraikan ejen dan pelancaran inisiatif Mini Hub oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun baru-baru ini.

Serentak pada majlis berlangsung, seramai 91 ejen menjadi penerima anugerah kerana berjaya meraih lebih RM1 juta jualan ke atas.

Pengasas Mamasab Siti Noor Sabrina Soobri
Pengasas Mamasab Siti Noor Sabrina Soobri

Menurut Sabrina, nama perniagaannya terbit hasil hubungan baik dengan ejen.

"Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.

"Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.

"Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan," katanya.

Sementara itu, Mohammad Norhelmi Razali yang menjadi salah seorang penerima anugerah asalnya bergelar doktor kanak-kanak, namun membuat pusingan 'u' menyertai jenama itu sejak 2019.

"Kemuncak kepada minat saya dalam dunia perniagaan ini apabila bertemu Mamasab. Saya berhenti bekerja profesional dan kini sepenuh masa bersama jenama itu," katanya.

Manakala Nursyamimi Ramli pula menyertai sepenuh masa dengan perniagaan jenama terbabit sejak 2020.

Untuk maklumat lanjut boleh berkunjung ke cawangan berdekatan atau hubungi ejen berdaftar Mamasab. Ikuti juga Facebook (FB) Mamasab Bakery Malaysia atau Instagram (@mamasab.bakeryofficial).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2022 @ 10:01 AM