Majlis pemeteraian berlangsung semalam dihadiri Muhammad Faizal (dua kiri) dan KY Lim (empat kanan)
Majlis pemeteraian berlangsung semalam dihadiri Muhammad Faizal (dua kiri) dan KY Lim (empat kanan)

Kuala Lumpur: Homevest Sdn Bhd (HOMEVEST) berjaya disenaraikan dalam platform 1Exchange (1X), sebuah pasaran sekuriti swasta pertama di Singapura.

Platform berkenaan di kawal selia oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan proses penyenaraian berlangsung semalam di sebuah lokasi di ibu kota dengan dimeterai pemukulan gong secara maya.

Status yang baru diperolehi di 1Exchange ini akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat itu dalam pembangunan hartanah dan pemerolehan projek.

Berpusat di hab kewangan global Singapura, 1X ialah bursa sekuriti swasta terkawal pertama dengan lesen Pengendali Pasaran Diiktiraf yang dikeluarkan oleh Penguasa Kewangan Singapura.

1X ialah sebahagian daripada CapBridge Financial, disokong oleh Singapore Exchange (SGX), SGInnovate, Hong Kong Cyberport dan Hanwha Investment yang berpusat di Korea Selatan, antara pemegang saham strategik atau institusi yang lain.

Selain itu, ia membolehkan HOMEVEST mempelbagaikan pangkalan pelaburnya dengan berkembang kepada komuniti yang lebih luas secara global dan digital.

Pengarah Urusan Kumpulan HOMEVEST, Datuk KY Lim melihat penyenaraian itu sebagai rahmat indah pembuka tahun 2022.

"Penyenaraian di 1Exchange menandakan satu peristiwa bersejarah buat syarikat serta selangkah lebih dekat ke arah mencapai visi kami dalam membentuk komuniti 'smart living' dan mampan dengan hubungan yang erat.

"Kami berbesar hati atas penyenaraian itu. Lebih utama 1exchange menjadi pasaran sekuriti swasta yang pertama dikawal selia oleh MAS di Singapura dalam ekosistem pasaran swasta, Capbridge Financial," kata KY Lim.

Tambah KY lagi, Singapura merupakan salah satu hab kewangan terkemuka di dunia.

"Negara itu juga sebuah pasaran yang ada daya tarikan kerana berdaya saing dan reputasinya dalam persekitaran perniagaan, infrastruktur dan sektor kewangan.

"Pada tahun 2020, pandemik Covid-19 telah menggendalakan hampir kesemuanya di serata dunia. Kami mengambil masa ini untuk mentakrifkan semula matlamat Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami untuk kehidupan selepas pandemik.

"Kami percaya pada kepentingan amalan lestari dan komited terhadap mengutamakan kemampanan dalam perniagaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif HOMEVEST, Datuk Marcus Low cukup optimis dengan penyenaraian berkenaan.

Manakala Ketua PegawaI Eksekutif 1Exchange, Victor Chia pula amat teruja dengan kerjasama itu dan pihaknya berasa amat gembira kerana HOMEVEST telah memilih 1Exchange sebagai lokasi penyenaraiannya.

Turut hadir memeriahkan simbolik acara itu ialah Penasihat Korporat, Datuk Wira Muhammad Faizal Zainol; Puar Chin Jong (Pengarah Bukan Eksekutif Bebas); Hong Boon Toh, (Independent Non-Executive Director); Johnson Chen (Ketua Pegawai Eksekutif CapBridge & Pengasas CapBridge Financial Group) dan Mohamed Nasser (Naib Presiden Kanan dan Ketua Global Pasaran Modal Ekuiti SGX).

HOMEVEST terdiri daripada tiga bahagian merangkumi HOMEVEST Capital, HOMEVEST Living dan HOMEVEST Development.

Syarikat ini berkecimpung dalam perniagaan pelaburan hartanah, pengurusan, pemerolehan dan pembangunan. Malah sebelum ini dikenali sebagai KYY Empire dan ditubuhkan pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 3:33 PM