ZIZAN ketengahkan isu kritikan sosial yang dihadapi generasi muda. FOTO Hazreen Mohamad
ZIZAN ketengahkan isu kritikan sosial yang dihadapi generasi muda. FOTO Hazreen Mohamad
Georgie Joseph


PERCUBAAN pertama Zizan Nin mengarahkan filem berjudul Sazali Meor Coco nampaknya mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak.

Zizan yang pernah menerima trofi Pelakon Harapan, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-20 pada 2007 berkata, dia terharu menerima reaksi positif penonton.

"Saya bersyukur mendapat rebiu positif penonton. Paling terharu, ada penonton yang berjaya kupas isu yang diketengahkan dalam filem dengan terperinci. Tema bergenre drama dan kritikan sosial bukan hiburan semata-mata, tetapi ada mesej sebaliknya.

"Sebagai pengarah dan penerbit, saya juga sudah di risik oleh beberapa pihak yang ingin menganjurkan tayangan ekslusif di beberapa forum dan sesi akademik.

SAZALI Meor Coco filem pertama arahan Zizan Nin. FOTO Hazreen Mohamad
SAZALI Meor Coco filem pertama arahan Zizan Nin. FOTO Hazreen Mohamad

"Ini kerana isu yang diketengahkan relevan dengan realiti kehidupan sekarang. Sebenarnya, itulah cabaran saya mengarahkan filem ini, di mana saya perlu mencari titik temu untuk mengetengahkan 'pressing issues'," katanya.

Tambah Zizan reaksi positif penggiat industri perfileman seperti Datuk Mahyidin Mustakim, Datuk Jurey Abdul Latiff, Zed Zaidi dan ramai lain membuatkan dia terus bersemangat untuk berkarya seterusnya berusaha lebih gigih.

Filem Sazali Meor Coco menekankan isu kritikan sosial yang dihadapi generasi muda sekali pun ada yang menganggap naskhah pertama terbitan Aquila Emas Sdn Bhd itu penuh kemarahan, sarat sindiran dan ada pengisian tersendiri.

Menampilkan bintang baharu seperti Syazani Zikry yang membawa watak Sazali, Coco (Iman Zulkarnanin) dan Meor (Shah Radhy) bukan filem 'cliche', namun dilihat sebagai taruhan berani, segar, 'trensetter' dan hiburan mendidik.

Terdahulu, filem Sazali Meor Coco turut ditayangkan di Pemasaran Film & Kandungan Asia (ACFM), Busan, Korea pada 7 hingga 10 Oktober lalu sempena Festival Filem Antarabangsa Busan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 6:21 AM