Syazani Zikry
Syazani Zikry

Kuala Lumpur: Pelakon baharu, Syazani Zikry, 25, mengakui dirinya mahu popular untuk kekal dalam industri lakonan tempatan.

Bagaimanapun Syazani masih sedar diri dan ruang untuk berada di puncak kejayaan tidak semudah memuat naik kandungan bagai mencari jarum dalam tumpukan jerami.

"Sudah tentunya saya ada hati untuk dikenali. Kalau tak popular, macam manalah penerbit atau pengarah nak nampak bakat lakonan saya bukan?

"Tetapi mestilah saya nak dikenali menerusi bakat yang dipersembahkan. Bukan jual kontens mengarut murahan, hari ini panas dan tular, selepas setahun orang dah lupa yang saya ini pelakon," akuinya yang mahu dikenali menerusi karya yang dibintangi.

Berkongsi mengenai pembabitan dalam filem Sazali Meor Coco #TetiberUtuber yang bakal ditayangkan pada 16 November depan, Syazani berkata, ada pengajaran yang dapat diteladani.

"Bagi saya dalam apa yang kita buat kena berhati-hati, fikir panjang dan jangan terlalu yakin sangat," katanya yang berterima kasih kepada pelakon Zizan Nin kerana sudi mencungkil bakatnya.

Selain Syazani, antara bintang lain turut terbabit dalam filem terbitan Aquilaemas dan arahan pelakon Zizan Nin ialah Iman Zulkarnain dan Shah Radhi.

Syazani turut terbabit dalam beberapa filem antaranya Ceroboh (Netflix), Kabus (Astro) dan Bilik Tepi (Viu). Manakala lima filem lain bakal ditayangkan, Tafakur (terbitan Stelo Entertainment, Sasqia Dahuri), Angkat (terbitan FEISK Productions, arahan Feisal Azizuddin), Seledangs & Shotguns, Send Tudes dan This Land of Mine. 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 6:20 PM