HARRIS mengaku gelisah apabila berjauhan dengan anak tercinta.
HARRIS mengaku gelisah apabila berjauhan dengan anak tercinta.
Najiy Jefri


SEJAK dikurniakan cahaya mata, pelakon, penyanyi dan pengacara, Harris Alif sentiasa berasa gelisah apabila terpaksa berada di luar untuk tempoh lama kerana merindui puteri tercintanya itu.

Harris berkata, setiap kali teringatkan Evie Khadeeja hasil perkongsian hidupnya dengan pelakon, Intan Ladyana, dia akan membuat panggilan video untuk mengetahui perkembangan dan keadaan terkini anaknya.

"Perasaan apabila sudah bergelar bapa sangat berbeza. Setiap kali berjauhan, saya pasti berasa tidak sabar untuk habiskan kerja dan pulang ke rumah.

"Baru kini saya faham bagaimana perasaan menjadi bapa. Memang agak mencabar apabila isteri dan anak tiada depan mata," katanya.

Menurut Harris, Ramadan tahun ini memberi satu pengalaman baharu dalam hidup dia dan isteri apabila tumpuan perlu diberikan kepada Evie.

"Pengalaman berpuasa kami kali ini amat berbeza sekali sejak kehadiran Evie. Kalau sebelum ini boleh berehat selepas bersahur dan berbuka, tetapi kini kami perlu berikan tumpuan pada anak.

"Waktu tidur kami juga semakin singkat. Biasanya kami akan mengambil kesempatan ketika bayi tidur untuk kami tidur dan berehat. Jika tidak, ada saja yang perlu kami lakukan seperti membuat susu dan sebagainya. Apa-apa pun ia satu pengalaman menyeronokkan," katanya.

Dalam pada itu, Harris tidak berniat untuk merahsiakan wajah anak yang dilahirkan pada 31 Januari lalu itu, sebaliknya ingin memberikan tumpuan membesarkannya terlebih dulu sebelum memperkenalkan kepada umum.

Menurut Harris, dia nekad memperkenalkan Evie pada 1 Ramadan lalu kerana mengambil keberkatan bulan mulia.

HARRIS dan Intan bersama anak sulung mereka, Evie Khadeeja.
HARRIS dan Intan bersama anak sulung mereka, Evie Khadeeja.

Ditanya mengenai pemilihan nama indah itu, Harris menjelaskan, nama terbabit dipilih selepas hasil perbincangan bersama.

"Kami nak fokus kepada anak 100 peratus terlebih dulu. Kami nak lihat Khadeeja membesar dengan baik dan apabila tiba waktu yang tepat barulah kami kongsikan.

"Kami sedar ramai yang menantikan berita ini. Kami juga tidak merahsiakan berita kelahiran Khadeeja, cuma untuk gambar dan nama kami ambil masa sikit untuk kongsikan.

"Alhamdulillah, 1 Ramadan lalu, kami nekad untuk kongsi foto dan namanya. Lagipun, pada bulan yang mulia ini, kami fikir apa salahnya kami beritahu kepada semua.

"Nama Evie dipilih sendiri oleh Intan memandangkan dia sudah lama menyukai nama itu, manakala Khadeeja saya ambil bersempena dengan nama isteri Nabi Muhammad SAW, Siti Khadijah," katanya.

Sementara itu, berkongsi mengenai Jalan Jalan Ramadan, ia adalah sebuah program travelog apabila Harris akan menjelajah ke beberapa negeri untuk melihat sendiri masyarakat di sesebuah negeri meraikan kedatangan Ramadan.

TERUJA mengendalikan program travelog berjudul Jalan Jalan Ramadan.
TERUJA mengendalikan program travelog berjudul Jalan Jalan Ramadan.

Jalan Jalan Ramadan menemui penonton setiap Sabtu jam 7.30 malam di saluran TV9 bermula 2 April lalu sebanyak lima episod.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 6:07 AM