Dua pelancong wanita dari United Kingdom yang ditemui selamat selepas dilaporkan sesat di Gunung Brinchang Barat, Cameron Highlands, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Dua pelancong wanita dari United Kingdom yang ditemui selamat selepas dilaporkan sesat di Gunung Brinchang Barat, Cameron Highlands, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA pelancong wanita dari United Kingdom (UK) yang dilaporkan sesat di Gunung Brinchang Barat, Cameron Highlands hari ini, ditemui selamat malam ini.

Hannah Vatani, 33, dan Hollie Drever, 32, yang dilaporkan sesat kira-kira jam 2 petang, dijumpai selamat selepas lima jam gerakan mengesan dua wanita terbabit dilakukan.

Difahamkan panggilan kecemasan dibuat Hannah kepada pihak berkuasa memaklumkan dia dan rakan sesat ketika pendakian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhammad Haziq Hazmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.20 petang dan operasi mencari serta mengesan mangsa dimulakan sekitar kawasan tangki air kaki Gunung Brinchang Barat.

“€œPencarian dipecahkan kepada dua kumpulan termasuk pasukan yang mencari kawasan puncak gunung serta kaki gunung. Pencarian turut dilakukan di kawasan sungai,” katanya ketika dihubungi.

Muhammad Haziq berkata, selepas lima jam usaha mencari, pihaknya menerima panggilan daripada polis memaklumkan mangsa ditemui selamat berhampiran laluan masuk ke gunung itu sebelum operasi dihentikan sepenuhnya pada 9 malam.

Katanya, seramai 25 pegawai dan anggota terdiri dari pasukan polis, pejabat hutan daerah dan Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands menyertai operasi mencari dan menyelamat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 10:41 PM