MENEROKAI produk pelancong eko bersama rakan-rakan sememangnya menyeronokkan.
MENEROKAI produk pelancong eko bersama rakan-rakan sememangnya menyeronokkan.
Hafiz Ithnin


MELIHAT foto kolam kehijauan yang cukup jernih membuatkan penulis terus bertanyakan kepada wanita ini mengenai destinasi yang dikunjunginya sebelum Ramadan.

Ternyata lokasi eko pelancongan yang dikunjungi Azvin Ridzuan Shah bukan di luar negara tetapi hanya terletak di kawasan Hutan Simpan Gunung Tebu, Hulu Besut di Terengganu sahaja.

Dari Kuala Terengganu, perjalanan untuk ke lokasi itu sejauh 135 kilometer (km). Manakala dari Kota Bharu, Kelantan pula sekitar 95km.

Azvin berkata, ternyata pengembaraan berkhemah selama tiga hari dua malam itu memberikan pengalaman, kepuasan dan kenikmatan yang berbeza. Apatah lagi menjamu pemandangan dengan air terjun yang jernih dan cantik di sepanjang tapak perkhemahan.

Katanya, pengembaraannya ke lokasi itu sebenarnya tidak dirancang dan hanya mengisi masa lapang untuk memberi pengalaman baharu.

"Menerokai permata tersembunyi, air terjun adalah satu pengalaman baru yang dirasai saya. Bersama rakan-rakan saya dapat menerokai tiga air terjun yang berbeza.

"Kami yang seharusnya bertapak di Lata Kolam terpaksa berpindah ke bahagian atas iaitu Pengkalan Rajah disebabkan hal-hal tertentu yang memakan masa 10 minit berjalan kaki dari parkir. Pengkalan Rajah ini berada 300 meter (m) dari Lata Kolam dan lebih privasi," katanya.

Tambahnya, untuk ke Lata Pelangi dan Lata Berangin, mereka perlu melalui denai dan mengambil masa sejam lebih dari Lata Kolam. Laluan denainya amat jelas dan mudah.

"Lata Kolam Air Deru juga menjadi destinasi terbaik untuk melihat air terjun yang cantik dan jernih dan menikmati suasana dan kedinginan hutan pada sebelah malam. Pastinya sungguh tenang dan mendamaikan.

"Kami memulakan perjalanan ke Lata Berangin pada jam 9 pagi dan tiba sekitar 9.45 pagi. Selesai saja berehat seketika dan melihat pemandangan Lata Berangin, kami sambung perjalanan ke Lata Pelangi. Perjalanan mengambil masa antara 30 hingga 40 minit," katanya.

Katanya lagi, sekitar jam 12 tengah hari, mereka tiba di Lata Pelangi. Walaupun ketika tiba, tidak kelihatan pelangi disebabkan hujan renyai, tapi keindahan Lata Pelangi itu tidak menghampakan siapa yang tiba di sana.

"Kami berehat dan makan tengah hari di situ. Semestinya mengambil gambar kenangan adalah perkara yang tidak dilepaskan.

"Selepas hampir dua jam kami di lokasi berkenaan, kami mula beransur pulang ke tapak perkhemahan dan cuaca tidak mengizinkan untuk berada lebih lama lagi. Tambahan pula, perjalanan mengambil masa sejam untuk sampai ke tapak kem," katanya.

Ceritanya lagi, pengalaman mendaki kedua-dua puncak itu agak mencabar kerana bentuk muka buminya. Selain itu, persekitaran laluan trek yang masih terjaga menjadikan lokasi pendakian berkenaan begitu sesuai untuk peminat rekreasi alam semula jadi.

"Pengalaman menerokai air terjun yang tersembunyi ini memberi memberi satu kepuasan yang lain dari pengalaman saya sebelum ini.

"Pada masa yang sama rakan-rakan kembara yang sangat menghiburkan dan sikap saling membantu walaupun tidak mengenali sesama sendiri," katanya.

Katanya, walaupun perlu menempuhi perjalanan yang agak jauh dari Kuala Lumpur dan melalui laluan denai untuk ke destinasi itu, ia nyata amat berbaloi.

"Saya melihat lokasi ini amat menarik untuk dikunjungi. Apatah lagi, jika anda bersama rakan-rakan yang meminati eko pelancongan.

"Tidak sekadar itu, jika bertandang dengan rakan-rakan 'sekepala' yang mencari kedamaian dengan cara ini sememangnya sesuatu aktiviti santai yang cukup menarik dan tidak akan dapat dilupakan," katanya.

Katanya lagi, baginya Malaysia sememangnya mempunyai destinasi air terjun yang menarik dan boleh diterokai untuk mencari kelainan dalam bersantai.

"Paling penting, kita perlu menghargai khazanah alam semula jadi ini meskipun berhibur, perlu menjaga kebersihannya apabila bertandang ke sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 April 2024 @ 7:00 AM